Sekilas
- Fad Anuar berkongsi pengorbanan lebih setahun untuk persiapan fizikal watak Mamat dalam filem seram Polong, termasuk membela rambut dan kuku panjang serta kurang tidur.
- Fad juga mengelak bertemu sesiapa sepanjang tempoh itu demi mengekalkan imej watak yang tidak terurus dan menyeramkan.
- Watak Mamat mendapat pujian netizen sebagai elemen menarik dalam Polong, yang kini ditayangkan di pawagam sejak 28 Mei.
Pelakon, Fad Anuar berkongsi pengorbanan yang dilakukannya demi menghidupkan watak Mamat dalam filem seram Polong.
Menerusi perkongsian di platform Threads, Fad mendedahkan dia mengambil masa lebih setahun untuk melakukan persiapan fizikal bagi memastikan penampilannya benar-benar sesuai dengan karakter yang dibawakan.
Menurut Fad, dia sengaja membela rambut dalam tempoh yang panjang selain membiarkan kuku tangan dan kaki panjang bagi menampilkan imej yang tidak terurus seperti yang dikehendaki oleh watak tersebut.
Bukan itu sahaja, malah Fad juga mengatakan sepanjang tempoh tersebut, dia juga tidak bertemu dengan sesiapa.
“Bela rambut untuk Mamat setahun lebih, simpan kuku kaki, kuku tangan, jambang satu bulan lebih, tak cukupkan tidur untuk nampak mata barai, merah.
“Tak jumpa siapa-siapa dalam tempoh itu cuma ke set penggambaran, ingat senang nak jadi Mamat?” jelasnya.

Fad berkata demikian sebagai menjawab soalan netizen yang mengagumi cara dirinya membawakan watak Mamat dan bertanyakan keadaannya pada ketika itu.
“Lepas aku tengok Polong kali kedua ni, aku tertanya macam mana lah tuan director @mzulkarnainazhar ni boleh transform @fad_anuar ni daripada smart uniform guy look ke scammer 10 tahun tak mandi.
“Baik abang @fad_anuar bagitau saya, tuan director suruh abang tak mandi berapa hari dan berapa lama rambut abang kena bela ni?
“Nampak busuk betul. Siapa yang dah tengok Polong je tahu betapa busuknya Fad Anuar dalam Polong tu,” tulis individu tersebut.

Selain itu, rata-rata netizen juga menyifatkan transformasi berkenaan membuktikan kesungguhan Fad dalam memberikan persembahan terbaik buat penonton.
Rata-rata mereka turut mengakui watak Mamat menjadi antara elemen yang berjaya mencuri perhatian dalam Polong, sekali gus membuktikan pengorbanan dilakukan Fad tidak sia-sia.
Selain Fad, Polong turut dibintangi oleh Mimi Lana, Fad Anuar, Nam Ron, Nadiya Nisaa dan ramai lagi.
Polong kini sudah ditayangkan di pawagam sejak 28 Mei lalu.