Sekilas
- Datuk Remy Ishak mengakui watak Awang dalam filem Khadam adalah antara peranan paling berat yang pernah dilakonkan, menyebabkan tekanan sepanjang penggambaran.
- Watak tersebut menggambarkan lelaki era 40an dan 50an yang kurang menunjukkan kasih sayang, membuat Remy faham salah faham terhadap lelaki zaman dulu.
- Remy berharap filem Khadam diterima baik oleh penonton dan mesej yang disampaikan dapat melekat di hati mereka.
Pelakon Datuk Remy Ishak mengakui watak Awang yang dibawanya dalam filem Khadam merupakan antara karakter paling berat yang pernah dilakonkan sehingga memberi tekanan sepanjang proses penggambaran.
Meskipun Remy menikmati pengalaman melakonkan watak tersebut, namun cabaran emosi yang perlu dipikul membuatkan dirinya berasa tertekan dan tidak sabar untuk menamatkan penggambaran.
“Bermain itu saya seronok, tapi proses shooting itu saya sendiri stres. Karakternya berat. Banyak benda yang saya kena jaga dan kalau boleh saya nak cepat habis. Saya sendiri tak suka dengan watak itu.
“Maksudnya, saya potraykan lelaki pada tahun era 40an, 50an yang kurang komunikasinya kepada keluarga, anak-anaknya tak tahu melahirkan rasa sayang cintanya kepada orang sekelilingnya,” katanya kepada Gempak.
Remy ditemui ketika majlis tayangan filem Khadam yang diadakan di GSC Mid Valley, Kuala Lumpur pada Selasa.
Remy berkata, watak Awang membuatkannya memahami ramai lelaki pada zaman dahulu sering disalah tafsir hanya kerana sukar menunjukkan emosi dan kasih sayang.
“Perasaan itu berat. Saya rasa it's very unfair untuk orang dulu-dulu terus judge this person garang, jahat dan sebagainya. Tapi itu yang buat saya jadi rimas,” ujarnya.
Tambah pelakon berusia 44 tahun itu, setiap babak dalam filem tersebut menuntut komitmen yang tinggi sehingga membuatkan dia sentiasa berasa tidak puas dan mahu memperbaiki lakonannya agar mesej yang ingin disampaikan benar-benar sampai kepada penonton.
“Bila ditanya pada saya babak mana yang saya suka, saya jadi sedih. Saya seronok bermain itu tapi dalam setiap scene itu saya rasa takut dan juga nak buat lagi, nak buat lagi supaya mesej itu sampai,” ujarnya.
Dalam pada itu, Remy mengakui sukar menjangka penerimaan penonton terhadap filem berkenaan kerana citarasa mereka sering berubah-ubah.
“Filem ini penontonnya, very unpredictable. Ada satu masa mereka sukakan aksi, tiba-tiba beralih pula ke komedi. Jadi, saya tak berani nak jangkakan apa-apa.
“Mengharapkan yang terbaik, semoga film ini diterima ramai dan mesej-mesej yang disampaikan dalam Khadam ini sampai dan melekat di hati penonton, dah cukup lah bagi saya,” ujarnya.