Skip to main content

Drama

"Lama Tak Rasa Macam Ini" - Erma Fatima Lepas Rindu Duduk Kerusi Pengarah, Wajah A-Lister Bintangi Naskhah Terbaharu

Astro Gempak erma drama (1)

Sekilas

  • Erma Fatima kembali mencuri perhatian selepas memuat naik foto di set penggambaran projek kerjasama Malaysia-Indonesia yang menampilkan pelakon terkenal dari kedua-dua negara.
  • Projek ini menampilkan barisan pelakon ‘A-list’ seperti Datin Seri Umie Aida, Vanidah Imran, Puteri Sarah, serta pelakon Indonesia seperti Lukman Sardi dan Bima Samudra.
  • Erma mengakui penglibatannya adalah untuk melepaskan rindu selepas 10 tahun tidak mengarah, namun belum pasti bila projek ini akan ditayangkan.

Sedekad selepas mengarahkan drama yang mendapat pengiktirafan sebagai Drama Terbaik, Pesan Dari Tuhan, nama Erma Fatima kembali mencuri perhatian peminat industri hiburan.

Penerbit dan pelakon berusia 58 tahun itu mencetuskan tanda tanya apabila memuat naik beberapa foto dirinya berada di set penggambaran, sekali gus memberi bayangan kemungkinan kembali ke kerusi pengarah.

Menerusi perkongsian di Instagram, Erma atau nama sebenarnya Fatimah Rahmad Ali, memuat naik foto yang memperlihatkan barisan pelakon ‘A-list’ terlibat dalam sebuah projek kerjasama Malaysia dan Indonesia.

"Lama tak rasa macam ini (begini)," demikian coret Erma di samping beberapa foto yang menyaksikan pelakon 'A-list' terlibat dalam projek terbabit termasuklah Datin Seri Umie Aida, Vanidah Imran, Puteri Sarah dan Anna Jobling.

Lebih menarik, hantaran tersebut turut diiringi audio lagu islamik Wahai Pemilik Jiwa nyanyian asal Opick, seolah-olah memberikan sentuhan emosi dan simbolik terhadap projek berkenaan.

Selain nama besar tanah air, turut kelihatan dalam perkongsian tersebut ialah barisan pelakon Indonesia seperti Lukman Sardi, Bima Samudra, Elina Joerg dan Valentino, memperlihatkan skala produksi yang lebih besar dan merentasi sempadan.

Ketika dihubungi, Erma memaklumkan bahawa penglibatannya kali ini sekadar untuk melepaskan rindu selepas lama tidak mengarah.

"Lepas gian selepas 10 tahun tak direct (mengarah). Saja suka-suka, setakat ini tak tahu lagi mana nak tayang," katanya ringkas.

Untuk rekod, Erma yang pernah merangkul anugerah Pengarah Terbaik Festival Filem Antarabangsa Pyongyang ke-7 itu kali terakhir mengarah telefilem menerusi Pesan Dari Tuhan, yang dinobatkan sebagai Drama Terbaik Anugerah Skrin 2017.

Anda mungkin berminat dengan

Sea Makeup Stayput Setting Spray 100ml

Sea Makeup Stayput Setting Spray 100ml

WOSADO Magnetic Lash Set

WOSADO Magnetic Lash Set

Must-Watch Video

Advertisement