Sekilas
- Lana Nodin kini lebih selesa dengan kerjaya seni tanpa perlu kejar populariti dan lebih selektif memilih watak lakonan.
- Dia berminat mencuba watak baru yang mencabar, termasuk watak pesakit HIV yang memerlukan emosi mendalam.
- Lana mahu buktikan kemampuan lakonan dengan menerima watak berat dan berbeza daripada peranan biasa seperti antagonis atau penyondol.
Pelakon, Lana Nodin mengakui dirinya kini lebih selesa menjalani kehidupan sebagai anak seni tanpa perlu mengejar populariti seperti dahulu.
Malah, pemilik nama Mazlina Hassan Nodin, ini mengakui dia juga lebih selektif dalam menerima tawaran lakonan dan hanya memilih watak yang dirasakan mampu mengembangkan lagi karier seninya.
“Saya tidak kisah perkara itu (dilupakan peminat) kerana dalam fasa sekarang ini bukan lagi untuk mencari populariti tetapi mengumpul rezeki.
“Saya berlakon kerana minat, kalau ada tawaran berlakon dan watak itu sesuai, Insya-Allah saya tak akan sia-siakan,” katanya kepada Gempak.
Lana berkongsi perkara tersebut ketika ditemui di majlis sidang media Anugerah Melodi Terhangat 2026 bertempat di Hyatt Regency Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Mengulas lanjut, Lana memaklumkan dia lebih berminat untuk mencuba karakter yang belum pernah dibawanya sebelum ini.
Antara pengalaman terbaharunya ialah melakonkan watak pesakit HIV yang disifatkan berbeza daripada karakter-karakter terdahulu.
Ujar Lana, peluang membawa watak yang lebih berat membolehkan dirinya untuk membuktikan kemampuan dalam bidang lakonan.
“Seperti baru-baru ini saya melakonkan watak pesakit HIV. Watak itu berbeza dengan watak yang saya lakonkan sebelum ini.
“Saya memang mengintai watak sebegini. Saya sudah 20 tahun berlakon, kalau boleh sekarang ini berilah saya watak yang berlainan.
“Ramai penerbit yang mempersoalkan kebolehan saya membawa watak yang lebih mencabar. Namun mereka sedar saya sebenarnya mampu melakukannya.
“Seperti watak pesakit HIV, memang mencabar kerana menuntut saya untuk mengalirkan air mata setiap masa. penerbit sedar saya boleh melakonkan watak berat seperti itu.
“Sebagai pelakon, pada tahap ini, saya hanya mahu mencabar kebolehan lakonan saya. Jadi pasti saya terima kalau ada lagi watak berat dan mencabar, sudah-sudahlah berikan saya watak antagonis atau penyondol,” tambahnya.