Doktor yang juga penceramah kesihatan, Dr Afif Mohd Ridzwan mengakui ketagihan seks dalam kalangan netizen memang wujud.
Mengambil contoh perilaku peminat lelaki fanatik terhadap penyanyi sensasi Baby Shima, Dr Afif memberitahu ketagihan seks ini adalah hiperseksual atau sex maniac yang termasuk dalam kategori penyakit mental jika tidak terkawal dan akan menjejaskan kehidupan.
Advertisement
“Dari sudut pandangan saya sebagai seorang doktor, jangan salahkan Baby Shima jika ada lelaki gila seks ‘serang’ dia. Lelaki seperti ini boleh ‘serang’ sesiapa sahaja tak kira artis atau bukan.
“Ini kerana sifat ketagihan terhadap seks dalam diri seseorang itu berlaku bukan dalam masa yang singkat dan banyak faktor lain yang menjadi punca.
“Ada punca-punca tertentu yang berlaku kepadanya sehingga membawa kepada ketagihan seks. Ia memerlukan masa.
“Pertamanya, ketagihan seks ini merupakan satu gangguan kepada pemikiran seseorang itu suka berfantasi tentang seks yang berulang-ulang, melakukan tingkah laku seks yang tak terkawal dan sebagainya.
“Kedua, mungkin juga seseorang itu menghidap bipolar disorder (perubahan mood yang ekstrem) yang boleh menyebabkan ketagihan seks. Individu ini mengalami peningkatan drastik dalam dorongan seks, sukar mengawal diri dan mempunyai tingkah laku seksual yang berisiko serta sukar dihentikan,” katanya.
Menurut Dr Afif yang juga Ketua Pegawai Eksekutif, Pusat Rawatan Al Farhain, punca ketagihan seks boleh berlaku disebabkan faktor-faktor seperti pendedahan kepada pornografi, masalah emosi, genetik, dan tekanan sosial yang boleh menyebabkan seseorang itu melakukan aktiviti seks secara kompulsif dan berlebihan meskipun tahu ia boleh mendatangkan mudarat.
“Selain pendedahan pornografi yang berlebihan menjadi punca ketagihan seks, faktor psikososial atau persekitaran juga perlu diambil kira.
“Misalnya melihat perlakuan seks ahli keluarga atau orang sekelilingnya yang menyebabkan perbuatan itu ditiru,” ujarnya.
Dr Afif juga menyarankan agar mereka yang mempunyai ketagihan seks ini mendapatkan rawatan segera serta melakukan aktiviti-aktiviti sihat.
“Jika seseorang itu mengalami ketagihan seks, adalah penting untuk mencari bantuan profesional dari pakar psikologi atau kaunselor yang akan memberikan rawatan sesuai untuk mengatasi masalah ini.
“Bukan itu sahaja, latih diri amalkan aktiviti sihat seperti berenang, hiking, sertai persatuan dan program kebajikan serta banyak lagi. Ia sedikit sebanyak, perlahan-lahan merawat ketagihan seks.
“Paling penting, untuk orang Islam dekatkan diri dengan Allah dan sentiasa melakukan suruhanNya seperti solat, membaca al Quran, berzikir, dengar ceramah agama dan sebagainya,” tambahnya lagi.