Sekilas
- Seorang lelaki berusia 41 tahun dijatuhi hukuman penjara sembilan bulan oleh Mahkamah Majistret Melaka selepas mengaku bersalah memijak Al-Quran dan menghina agama Islam pada 28 Februari lalu.
- Tertuduh didakwa di bawah Seksyen 295 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara dua tahun atau denda, atau kedua-duanya sekali.
- Hakim menegaskan perbuatan itu serius kerana menyentuh sensitiviti umat Islam dan dilakukan dalam bulan Ramadan, yang sepatutnya menjadi masa untuk meningkatkan keimanan dan amalan baik.
Mahkamah Majistret Melaka menjatuhkan hukuman penjara sembilan bulan terhadap seorang lelaki yang mengaku memijak Al-Quran, bulan lepas.
Majistret Dr Teoh Shu Yee membuat keputusan itu selepas Amir Abdul Malik, 41, mengaku bersalah atas pertuduhan mencemari agama Islam dengan memuat naik rakaman dirinya memijak Al-Quran, dengan niat menghina agama tersebut di Kampung Durian Daun, Masjid Tanah pada 28 Feb lepas.
Dia didakwa mengikut Seksyen 295 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman maksimum penjara dua tahun atau denda, atau kedua-duanya sekali.
Pendakwaan dikendalikan oleh Pengarah Pendakwaan Negeri Nahra Dollah dan Timbalan Pendakwa Raya Wan Mohd Abdullah Wan Radzlad manakala tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kerajaan Ishak Kari.
Terdahulu, Nahra memohon hukuman setimpal dikenakan ke atas tertuduh memandangkan perbuatannya serius, lebih-lebih lagi sebagai seorang Muslim yamg menghina agama sendiri.
Ishak pula memohon hukuman penjara bermula dari tarikh Amir ditangkap, iaitu pada 15 Mac lepas.
Dalam penghakimannya, Teoh berkata perbuatan tertuduh adalah serius kerana menyentuh sensitiviti umat Islam dan berpotensi menjejaskan keharmonian masyarakat.
"Penghinaan terhadap mana-mana agama, sama ada Islam atau bukan Islam, berpotensi membawa kerosakan yang jauh lebih besar berbanding kecederaan fizikal kerana ia menyentuh maruah serta hak eksklusif yang dilindungi di bawah Perlembagaan Persekutuan,” katanya.
Dia juga berkata perbuatan itu lebih membimbangkan kerana dilakukan dalam bulan Ramadan yang sepatutnya menjadi ruang untuk meningkatkan keimanan dan amalan kebaikan.
Mahkamah kemudian memerintahkan Amir menjalami hukuman penjara dari tarikh dia ditangkap.
Sumber: Sinar Harian menerusi Bernama