Selepas mendapat jolokan ‘daddy’, pelakon Andy Teh kini berdepan gelaran baharu apabila ada peminat mengusiknya sebagai ‘imam’.
Perkara itu difahamkan mula berlaku selepas dia mendedahkan sudah mula belajar alif ba ta dan membaca surah An-Nas menerusi podcast Confession Bilik Gelap baru-baru ini.
Advertisement
Andy atau nama sebenarnya Andy Teh Kim Hua, 38, bagaimanapun berkata perkongsian itu bukan untuk menunjuk-nunjuk, sebaliknya sebagai persediaan bagi membawakan watak utama dalam filem Abah Saya Uncle Mike.
“Malaysia merupakan negara berbilang bangsa, sekiranya saya dapat watak yang ada kaitan dengan agama Islam, setidaknya saya tahu serba sedikit dan boleh belajar.
“Kalau ada yang nampak perkongsian saya bacaan surah An-Nas bukan sebab mahu tunjuk kehebatan, cuma mahu beritahu kepada mana-mana rumah produksi bahawa saya sudah bersedia jika ada tawaran.
“Tapi di ruangan mesej ramai juga yang panggil saya dengan gelaran imam selepas saya kongsi bacaan itu,” katanya ketika ditemui pada sidang media Abah Saya Uncle Mike di GSC Mid Valley Megamall, semalam.
Dalam pada itu, Andy mengakui ada juga peminat yang keliru dengan identitinya sama ada berbangsa Cina atau Melayu.
“Saya mahu anggap diri sebagai pelakon yang ada kemampuan lain. Tiada orang anggap saya mualaf, cuma mereka keliru saya ini Cina atau Melayu.
“Tapi saya memang Cina dan dalam keluarga pun tidak ada yang memeluk Islam. Cuma sekarang apabila sudah masuk industri arus perdana, sudah biasa berkawan dengan orang Melayu,” katanya.
Andy yang memegang watak utama Uncle Mike dalam filem tersebut berkata dia gembira apabila individu sebenar kisah itu iaitu Mike berpuas hati dengan lakonannya.
“Saya rasa sangat bersyukur apabila Uncle Mike berpuas hati dengan lakonan saya dan beri 10 markah.
“Sebelum ini saya banyak bawa watak antagonis, jadi agak risau juga sekiranya lakonan saya sebagai seorang ayah tidak menjadi.
“Saya kena menyendiri buat sementara waktu, berjauhan dengan kawan-kawan untuk buang pandangan antagonis sebelum ini,” jelasnya.
Untuk info, dalam naskhah bergenre drama yang bakal ditayangkan di pawagam bermula 28 Ogos ini, Andy memegang watak sebagai Uncle Mike, seorang lelaki berbangsa Cina yang secara tidak sengaja terlibat dalam kehidupan tiga beradik yatim piatu berbangsa Melayu iaitu Rafie, Rasyid dan Rahman.
Filem ini diangkat daripada kisah benar Michael Tong Wai Siong, atau lebih dikenali sebagai Uncle Mike, seorang lelaki berbangsa Cina yang membesarkan tiga anak yatim piatu Melayu sejak kecil, lengkap dengan bimbingan rohani dan penghormatan kepada agama Islam.
Dedikasi dan kasih sayang tulus yang ditunjukkan Uncle Mike dalam membesarkan mereka telah menyentuh hati rakyat Malaysia dan mendapat pengiktirafan tertinggi apabila beliau menerima Anugerah Maulidur Rasul 2024 daripada Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim atas jasa serta pengorbanannya.
Filem terbitan Astro Shaw dengan kerjasama strategik Etika Sdn. Bhd. itu mengetengahkan tema kekeluargaan dan semangat perpaduan, menjentik emosi penonton menerusi mesej bahawa kasih sayang sejati tidak mengenal warna kulit atau darah daging.
Menampilkan pelakon Andy Teh bersama gandingan muda berbakat besar seperti Idan Aedan, Nor Merah dan Umar Shakur, Abah Saya Uncle Mike turut menggunakan bahasa Melayu, Mandarin dan Kantonis bagi mencerminkan kepelbagaian latar masyarakat Malaysia.
Sinopsis Abah Saya Uncle Mike:
Rafei, anak sulung daripada tiga beradik yatim piatu, cuba melarikan diri dari rumah anak yatim yang penuh dengan penderaan bersama adik-adiknya demi mencari kehidupan yang lebih baik.
Namun, apabila mereka dipisahkan dengan kejam, Rafei diselamatkan buat sementara oleh seorang lelaki berbangsa Cina yang baik hati, Uncle Mike.
Dalam usahanya untuk menyatukan kembali keluarganya, ketiga-tiga beradik dan Uncle Mike akhirnya terpaksa berdepan dengan makna sebenar sebuah keluarga dan menyedari bahawa ‘Keluarga Bukan Sekadar Pertalian Darah’.