Sekilas
- Ariana Grande dilaporkan kembali bersama bekas teman lelakinya, Ricky Alvarez, selepas berpisah dengan Ethan Slater.
- Lirik lagu hit Ariana, "thank u, next", diubah semasa jelajah terbaru sebagai petunjuk hubungan mereka yang kembali erat.
- Ariana dan Ricky mula berkenalan pada 2015 dan berpisah pada 2016 sebelum kini memberi peluang kedua kepada hubungan mereka.
Penyanyi dan pelakon, Ariana Grande dilaporkan telah kembali menjalin hubungan cinta dengan bekas teman lelakinya, Ricky Alvarez, selepas berpisah dengan aktor, Ethan Slater.
Memetik laporan People, sumber terdekat telah mengesahkan Ariana dan Ricky kini kembali bersama
"Ariana sentiasa menganggap Ricky sebagai seorang sahabat. Dia tidak pernah menyimpan perasaan buruk terhadapnya selepas mereka berpisah. Ricky seorang yang boleh dipercayai, sentiasa memberi sokongan dan Ariana berasa selesa menjadi dirinya sendiri apabila bersama Ricky.
"Mereka tidak mahu terburu-buru. Ariana gembira kerana Ricky kembali menjadi sebahagian daripada hidupnya,"kata sumber itu.
Spekulasi mengenai hubungan mereka mula hangat diperkatakan selepas Ariana mengubah lirik lagu hitnya, "thank u, next", ketika siri jelajah Eternal Sunshine Tour.
Dalam versi asal lagu tersebut, Ariana menyanyikan lirik:
"Wrote some songs about Ricky, now I listen and laugh."
Namun, ketika konsert terbarunya, penyanyi itu menukar lirik berkenaan kepada:
"Wrote some songs about Ricky, we always find our way back."
Untuk rekod, Ariana Grande dan Ricky Alvarez mula menjalinkan hubungan pada tahun 2015 selepas bertemu ketika jelajah Honeymoon Tour, di mana Ricky merupakan salah seorang penari pengiring Ariana.
Hubungan mereka bagaimanapun berakhir pada Julai 2016.
Selepas itu, Ariana pernah menjalin hubungan dengan mendiang Mac Miller, bertunang dengan Pete Davidson, sebelum berkahwin dengan ejen hartanah Dalton Gomez pada Mei 2021.
Pasangan itu bagaimanapun bercerai secara rasmi pada Mac 2024, sebelum Ariana menjalin hubungan dengan rakan pelakonnya dalam filem Wicked, Ethan Slater.
Hubungan Ariana dan Ethan disahkan berakhir bulan lalu, sekali gus membuka ruang kepada spekulasi bahawa penyanyi itu kini memberi peluang kedua kepada cinta lamanya bersama Ricky Alvarez.