Sekilas
- Datuk M. Nasir memilih Aliff Aziz sebagai teraju utama teater muzikal Hikayat Mansur & Liu selepas melalui sesi uji bakat dan memenuhi kriteria lakonan serta nyanyian.
- Pemilihan pelakon dibuat dengan teliti kerana bukan semua pelakon berbakat mampu memenuhi keperluan nyanyian untuk pementasan teater muzikal ini.
- Teater ini diterbitkan oleh Roman Abadi dan Icon Entertainment, menampilkan barisan pelakon seperti Melinda Dadew, Amerul Affendi, dan Sherry Alhadad.
Penyanyi dan komposer tersohor Datuk M. Nasir mendedahkan Aliff Aziz dipilih sebagai teraju utama teater muzikal Hikayat Mansur & Liu selepas memenuhi kriteria ditetapkan termasuk memiliki kemampuan dalam bidang lakonan dan nyanyian.
Menurut M. Nasir, semua barisan pelakon perlu melalui sesi uji bakat sebelum dipilih bagi memastikan mereka benar-benar sesuai dengan karakter masing-masing.
“Semua pelakon dipilih melalui sesi uji bakat. Mengapa mereka dipilih? Kami mempunyai kriteria kami sendiri.
“Jika melihat kepada persembahan mereka, saya merasakan mereka sangat sesuai dengan watak masing-masing.
“Aliff ini, kenapa saya pilih dia? Sebab dia pelakon kedua paling tampan di Malaysia,” katanya berseloroh ketika ditemui pada sidang media Hikayat Mansur & Liu di Istana Budaya pada Jumaat.
Dalam pada itu, M. Nasir berkata, bukan mudah mencari pelakon yang mampu memenuhi keseluruhan kriteria diperlukan bagi menjayakan sebuah pementasan teater muzikal.
Katanya, terdapat ramai pelakon berbakat namun tidak semua memiliki kemampuan nyanyian yang diperlukan untuk menghidupkan watak dalam naskhah tersebut.
“Ramai pelakon berbakat tetapi tidak memenuhi semua kriteria, terutama dari segi nyanyian.
“Sebab itu saya memang kena cerewet. Bukan perangai saya cerewet, tetapi memang perlu. Kalau tidak nanti kita menyesal,” ujarnya.
Tambahnya, dia sedar setiap pemilihan mungkin tidak dapat memenuhi kehendak semua pihak, namun keputusan dibuat berdasarkan individu yang paling hampir dengan gambaran karakter yang dikehendaki.
“Sudah tentu akan ada orang yang tidak puas hati, tetapi kami cuba mencari pelakon yang paling hampir dengan watak yang kami bayangkan.
“Aliff adalah orangnya,” katanya.
Teater Muzikal Hikayat Mansur & Liu diterbitkan Roman Abadi dan Icon Entertainment dengan Aliff menggalas watak utama Mansur manakala Melinda Dadew sebagai Puteri Liu.
Pementasan tersebut turut dibintangi Amerul Affendi, Sherry Alhadad, Hazama, Taqim Zaki, Brian Chan, Fadhli Masoot, Anas Ridzuan, Arena Wan, Ruzana Ibrahim, Fiza Thomas, Taufiq Izmir, Marzuki Noh dan Shahrul Mizad.