Anak kedua daripada tiga adik beradik yatim piatu yang dijaga oleh Michael Tong Wai Siong atau lebih dikenali sebagai Uncle Mike, Rasyid mendedahkan perkembangan terkininya selepas melalui kehidupan penuh asuhan dan bimbingan daripada bapa angkatnya itu.
Menurut Rasyid, 29, yang kini bergelar usahawan, minatnya dalam dunia perniagaan banyak disemai sejak remaja apabila Uncle Mike memberinya peluang menguruskan kedai sebaik sahaja menamatkan persekolahan.
Advertisement
“Sekarang saya kerja sendiri, saya ada buka perniagaan Al-Haq Coffee. Selain itu, saya juga buat cleaning servis dan macam-macam benda lain. Apa saja barang yang boleh jadi duit, semua saya cuba buat,” katanya.
Rasyid berkata, minatnya dalam bidang makanan dan bakeri turut lahir hasil bimbingan staf dan seorang ketua chef berpengalaman ketika membantu Uncle Mike di kedai.
“Saya banyak belajar daripada head chef yang memang pakar dalam bakery. Dari situ saya ikut dan belajar buat roti, baking, macam-macam. Jadi dari situlah asas saya.
“Saya sebenarnya tak minat kerja pejabat yang asyik duduk depan komputer. Saya lebih suka kerja yang tak duduk diam, jadi saya go on saja buat macam-macam,” jelasnya.
Tambah Rasyid, antara pengalaman berharga adalah apabila dia pernah dilantik sebagai pengurus kedai Uncle Mike, sebelum mengambil keputusan membuka haluan sendiri.
“Dulu banyak Uncle Mike support saya. Dia bagi kerja, sampai satu hari saya jadi pengurus kedai dia. Tapi sekarang saya pilih untuk buat haluan sendiri, cuba bina daripada kosong dengan ilmu yang dia ajar,” ujarnya.
Bercerita mengenai kafe miliknya, Rasyid berkata Al-Haq Coffee beroperasi dari pukul 8 pagi hingga 10 malam dengan menu istimewa seperti kopi, pizza, air matcha dan nasi lemak.
“Kami juga ada sediakan servis untuk acara seperti sambutan hari jadi dengan belon, tapi fokus utama saya sekarang memang Al-Haq Coffee,” katanya.
Filem Abah Saya Uncle Mike yang diangkat daripada kisah benar Michael Tong Wai Siong sudah pun ditayangkan di pawagam bermula 28 Ogos lalu.
Naskhah bergenre drama ini menampilkan Andy Teh sebagai Uncle Mike, seorang lelaki Cina yang membesarkan tiga anak yatim piatu Melayu iaitu Rafie, Rasyid dan Rahman sejak kecil.
Kisah pengorbanan dan kasih sayang Uncle Mike turut mendapat pengiktirafan apabila beliau menerima Anugerah Maulidur Rasul 2024 daripada Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim.
Filem terbitan Astro Shaw dengan kerjasama Etika Sdn. Bhd. ini turut dibintangi Idan Aedan, Nor Merah dan Umar Shakur serta menggunakan bahasa Melayu, Mandarin dan Kantonis bagi mencerminkan kepelbagaian masyarakat Malaysia.