Pengacara dan penyampai radio, Isha Norsham meluahkan rasa syukur dan bahagia selepas sah bergelar isteri kepada lelaki pilihannya, Azman Azeez.
Ketika ditemui Gempak, Isha atau nama sebenarnya Nurul Farisha Norsham, 29,memohon doa daripada semua pihak agak bahtera perkahwinan yang dibina dapat kekal sehingga ke akhir hayat.
"Alhamdulillah, momen yang paling bahagia dalam hidup saya dan suami, saya harap semua dapat mendoakan kebahagian kami dunia dan akhirat dan harap semuanya dipermudahkan," katanya kepada Gempak.
Pasangan ini turut berkongsi khabar gembira bahawa mereka akan berangkat ke Tanah Suci Mekah dalam masa terdekat untuk menunaikan Umrah sebagai langkah pertama memulakan kehidupan berumah tangga.
“Alhamdulillah kami dah rancang untuk beberapa hari lagi kami akan terbang ke Mekah untuk memulakan keluarga baru ini dengan mendapat barakah dan rahmat Allah SWT.
“Kalau anak itu kami kena bincang tapi kalau saya mungkin empat orang,” kata Azman.
Isha pula menyifatkan rezeki menunaikan umrah bersama suami sebagai satu pengalaman yang luar biasa dan penuh makna.
“Saya rasa macam rezeki saya untuk dapat pergi Umrah bersama dengan suami, saya rasa ini adalah another level experience dan ini pertama kali saya menjejakan kaki ke Tanah Suci untuk menunaikan Umrah, sebelum ini tiada rezeki lagi untuk ke sana tapi syukur kali ini dapat pergi bersama suami saya,” tambah Isha.
Terdahulu, Isha Norsham selamat bergelar isteri kepada Azman Azeez dengan sekali lafaz di Hyatt Place Bukit Jalil, pada Jumaat.
Advertisement
Pasangan mempelai itu dinikahkan oleh bapa pengantin perempuan Norsham Aziz dalam sebuah majlis yang hanya dihadiri keluarga dan rakan terdekat.
Isha menerima mas kahwin berupa seutas gelang emas daripada pihak lelaki.