Sekilas
- Bella Astillah pernah menggunakan khidmat orang tengah untuk mendapatkan kepastian tentang keseriusan Syed Saddiq dalam hubungan mereka.
- Dr. Affa bertanya terus kepada Syed Saddiq tentang tahap keseriusan beliau, yang akhirnya mengesahkan perasaan mereka berdua.
- Kisah cinta mereka dikongsi dalam program Walimatulurus di Astro Ria, dengan majlis akad nikah dijadualkan pada 10 Oktober 2026 di Precinct Merdeka 118, Kuala Lumpur.
Pelakon dan penyanyi Bella Astillah berkongsi bahawa dia pernah menggunakan khidmat ‘orang tengah’ untuk mendapatkan kepastian mengenai hubungan dan keseriusan Ahli Parlimen YB Syed Saddiq Syed Abdul Rahman terhadapnya.
Menurut Bella, ketika itu Syed Saddiq sudah pun meluahkan rasa suka, namun hubungan mereka masih belum mempunyai status yang jelas.
“Dia tak cakap ‘I love you’, tapi dia ada cakap ‘I like you’.
“Sebenarnya Bella sangat excited, tapi macam baru ‘I like you’ kan? Jadi kita orang pun masih keliru, macam ‘eh, what are we?’” katanya.
Bella berkata, disebabkan dirinya lebih gemar sesuatu hubungan mempunyai kepastian, dia meminta bantuan sahabat baiknya, Datin Sri Dr. Affa untuk membuka sesuatu topik dengan Syed Saddiq.
Bagaimanapun, Dr. Affa mengambil pendekatan lebih terus apabila bertanyakan sendiri tahap keseriusan Syed Saddiq terhadap Bella.
“Saya terus tanya dia, ‘Saddiq, sebenarnya dengan Bella ini macam mana? How serious are you with her?’
“Masa itu saya nampak muka YB memang berubah. Benda pertama yang keluar daripada mulut dia yang saya ingat sampai sekarang, ‘Yes, of course I’m serious with her’,” kata Dr. Affa.
Selepas mendapat jawapan tersebut, Dr. Affa terus menyampaikan perkara itu kepada Bella.
Namun, Bella pada mulanya terkejut kerana soalan yang ditanyakan bukan seperti yang dirancang.
“Bella pandang saya, ‘Hah? Afa tanya apa?’
“Saya cakap, saya tanya direct dia serius ke tak dengan Bella. Lepas itu dia kata, ‘Ya Allah Afa, Bella suruh tanya benda lain, bukan benda itu!’
“Tapi lepas itu dia excited juga, terus tanya, ‘Dia cakap apa?’” katanya.
Menurut Dr. Affa, salah faham kecil itu akhirnya menjadi titik penting apabila kedua-duanya mengetahui bahawa perasaan tersebut sebenarnya berbalas.
“Dari situlah bermulanya mereka tahu sebenarnya mereka suka antara satu sama lain.
“Trigger point dia ialah salah faham yang akhirnya membawa kepada penyatuan dua jiwa,” katanya.
Perkara tersebut dikongsikan menerusi program Walimatulurus Bella Astillah & Syed Saddiq episod pertama yang disiarkan di Astro Ria.
Sebelum ini, Bella dan Syed Saddiq yang merupakan Ahli Parlimen Muar mengumumkan bakal disatukan sebagai suami isteri pada 10 Oktober depan di acara MeleTOP.
Pasangan itu dijadualkan melangsungkan akad nikah di Precinct Merdeka 118, Kuala Lumpur sekali gus menjadi pasangan pertama yang diijabkabulkan di lokasi berkenaan menerusi kolaborasi Astro dan Precinct Merdeka 118.
Bagi majlis akad nikah, Bella dan Syed Saddiq memilih konsep serba putih dengan elemen Arab yang turut mendapat persetujuan keluarga kedua-dua belah pihak.
Selain majlis resepsi di Kuala Lumpur (18 Oktober), pasangan tersebut turut merancang beberapa majlis persandingan dan keraian di Muar, Johor (24 Oktober), dan Sabah (31 Oktober) dengan lokasi tepat akan diumumkan kemudian.
Kisah pasangan romantis ini boleh disaksikan menerusi Walimatulurus Bella Astillah & Syed Saddiq bermula 6 Oktober 2026, setiap Selasa, jam 11 malam di Astro Ria (Saluran 104).
Program berkenaan turut boleh distrim secara On Demand menerusi Astro GO dan Sooka.
Anda juga boleh menyaksikan majlis akad nikah Bella dan Syed Saddiq disiarkan secara langsung pada 10 Oktober 2026, Sabtu, jam 9 pagi.
Siaran langsung itu boleh ditonton menerusi Astro Ria (Saluran 104), Astro Prima (Saluran 105), Astro Awani (Saluran 501), Sooka dan Astro GO, selain platform media sosial Astro Malaysia serta Astro Gempak.