Sekilas
- Mamat Exists teruja dapat beraya bersama anak-anak selepas beberapa tahun tidak berjumpa pada Aidilfitri kali ini.
Hubungan Mamat dengan anak-anak semakin rapat dan dia juga akan beraya bersama cucunya yang berusia tiga tahun.
Penyanyi, Mamat Exists, tidak dapat menyembunyikan rasa teruja apabila berpeluang untuk menyambut Aidilfitri bersama anak-anaknya selepas beberapa tahun tidak beraya bersama.
Berkongsi lanjut mengenai perancangan itu, Mamat, 48, berkata perkara yang paling menggembirakan adalah hubungan dengan anak-anaknya kini semakin rapat.
“Yang paling gembira adalah hubungan akrab saya dengan anak-anak makin kuat dan insya-Allah, mungkin tahun ni kita akan raya bersama.
“Itu yang saya rasa paling istimewa, dan lagi satu sebab saya akan beraya dengan cucu sekali.
“Sudah lama saya tidak beraya dengan anak-anak, tahun-tahun sebelum ini mereka beraya dengan ibu mereka dan ibunya juga dah bersuami,” kongsinya.
Mamat berkata demikian ketika ditemui pada majlis berberbuka puasa dan sidang media Konsert Ijmal Cinta Ramadan yang berlangsung di Restoran Saloma baru-baru ini.
Tambah Mamat lagi, dia menganggap peluang untuk berkumpul semula bersama anak-anak di Hari Raya tahun ini sebagai momen yang sangat bermakna buat dirinya.
“Lebih kurang tiga, empat tahun kami tak raya bersama, jadi tahun ini anak-anak akan beraya dengan saya.
“Cucu saya pula sekarang sudah berusia tiga tahun. Nak kata kerap jumpa cucu pun tidak juga, pertama kali saya jumpa adalah masa umurnya dalam dua, tiga bulan.
“Kemudian saya jumpa dia kembali, umurnya sudah mencecah tiga tahun dan mereka juga duduk di Kuala Lumpur. Alhamdulillah, saya rasa tak sabar,” jelasnya.
Sebelum ini, Mamat pernah berkahwin dengan Marshila Mustapa Kamal pada 2001 tetapi bercerai pada 2009.
Hasil perkahwinan dengan Marshila, mereka dikurniakan tiga anak iaitu Aleeya Mysara, Mohd Eiki Daniell dan Dylea Mysara.