Sekilas
- Marsha Milan mengakui impian untuk memenangi trofi Vokal Terbaik di Anugerah Juara Lagu (AJL) sebagai pencapaian yang belum dimiliki.
- Walaupun pernah menang Persembahan Terbaik dan tempat kedua serta ketiga, Marsha menyerahkan soal kemenangan kepada rezeki dan percaya menyatakan impian boleh mendekatkannya dengan realiti.
- Lagu ciptaannya bersama Hazama, Tangisan Seorang Pendosa, berjaya mara ke AJL40 dan akan dibawakan dengan pendekatan lembut dan beremosi.
Penyanyi Marsha Milan mengakui menyimpan hasrat untuk meraih trofi Vokal Terbaik pada Anugerah Juara Lagu (AJL) sebagai antara pencapaian yang masih belum dimiliki.
Menurut Marsha, meskipun pernah meraih beberapa pengiktirafan lain, kategori tersebut tetap menjadi impian ramai penyanyi termasuk dirinya.
“Sejujurnya, saya juga menyimpan hasrat untuk memenangi kategori Vokal Terbaik.
“Anugerah lain seperti Persembahan Terbaik serta tempat kedua dan ketiga pernah saya raih, jadi Vokal Terbaik itu antara yang diidamkan ramai penyanyi,” katanya.
Tambahnya, bagaimanapun penyanyi berusia 40 tahun itu menyerahkan soal kemenangan kepada rezeki selain percaya bahawa menyatakan impian mampu mendekatkannya dengan realiti.
“Selebihnya saya serahkan kepada rezeki. Kalau ada rezeki, saya bersyukur.
“Orang kata, apabila kita menyuarakan sesuatu harapan, ia seolah-olah mendekatkannya dengan kita. Jadi, saya nyatakan sahaja sasaran itu,” ujarnya.
Menurutnya lagi, keinginan tersebut bukan perkara baharu, sebaliknya sudah lama terpendam dalam dirinya.
“Malah, impian untuk meraih Vokal Terbaik sudah lama. Saya harap suatu hari nanti saya berpeluang untuk mencapainya,” katanya.
Dalam masa sama, Marsha turut berkongsi mengenai lagu ciptaannya bersama Hazama berjudul Tangisan Seorang Pendosa yang berjaya mara ke AJL40.
“Bagi saya, lagu ini mempunyai emosi yang lebih mendalam dengan elemen watak seperti insan berdosa, pengemis dan perjalanan batin yang berat.
“Jadi, saya mahu membawakan lagu ini dengan pendekatan yang lebih lembut dan beremosi,” jelasnya.
Untuk rekod, Tangisan Seorang Pendosa ciptaan Marsha bersama Hazama merupakan antara 20 karya yang diumumkan mara ke AJL40 Separuh Akhir yang dijadual berlangsung pada 17 dan 18 April ini.