Sekilas
- Pasangan bilionair Claudia dan Nelson Peltz disaman oleh seorang pekerja, Joy Ransom, selepas anjing peliharaan mereka, Houdini, didakwa menyerangnya ketika bekerja di kediaman keluarga itu.
- Ransom mendakwa anjing tersebut mempunyai sejarah agresif dan tidak pernah menerima latihan khas, serta keluarga Peltz gagal mengawal dan melaporkan sifat berbahaya anjing itu kepada pihak berkuasa.
- Ini bukan kali pertama pasangan itu berdepan tindakan undang-undang berkaitan Houdini, dengan tuntutan ganti rugi melebihi AS$50,000 dan kes akan dibicarakan di hadapan juri.
Mentua Brooklyn Beckham yang juga ibu bapa kepada pelakon Nicola Peltz Beckham, Claudia Peltz dan Nelson Peltz, dilaporkan disaman sekali lagi berkaitan haiwan peliharaan mereka.
Pasangan bilionair itu berdepan tindakan undang-undang susulan dakwaan melibatkan anjing peliharaan mereka yang dikatakan menyerang seorang pekerja.
Menurut dokumen mahkamah yang diperoleh PEOPLE, seorang wanita dikenali sebagai Joy Ransom memfailkan saman terhadap pasangan itu pada 10 Julai. Dia mendakwa telah diserang anjing penyelamat milik keluarga berkenaan yang dikenali sebagai Houdini pada 23 Disember 2025.
Dalam saman tersebut, Ranson mendakwa insiden berlaku ketika dia sedang bekerja di kediaman keluarga Peltz bagi menyiapkan hadiah Krismas. Difahamkan, Peltz turut berada di rumah ketika kejadian itu berlaku.
Ranson turut mendakwa keluarga Peltz sudah mengetahui Houdini mempunyai sejarah bersikap agresif
dan cenderung menyerang orang, namun anjing itu tidak pernah menerima latihan khas K-9 atau latihan tingkah laku.
Malah, dia menegaskan tidak cuai sewaktu berada di sekitar haiwan itu sehingga menyebabkan kejadian tersebut berlaku.
Akibat serangan, Randon mengalami kecederaan sehingga terpaksa mendapatkan rawatan perubatan. Dia juga mendakwa Houdini dibiarkan bebas tanpa sebarang kawalan atau sekatan walaupun pemiliknya didakwa mengetahui kecenderungan agresif anjing tersebut.
Lebih mengejutkan, ini bukan kali pertama Claudia dan Nelson berdepan tindakan undang-undang berkaitan Houdini.
Dokumen mahkamah turut mendedahkan bahawa pasangan itu pernah disaman oleh seorang lagi bekas pekerja di Palm Beach County, Florida, yang mendakwa Houdini cuba menerkam dan menyerangnya pada 16 Disember 2024, menyebabkan mangsa terjatuh serta mengalami kecederaan.
Selain itu, Ranson juga mendakwa Claudia dan Nelson gagal melaporkan sifat berbahaya Houdini kepada pihak kawalan haiwan yang berwajib serta tidak mendapatkan sijil pendaftaran yang diperlukan bagi anjing tersebut.
Dalam tuntutannya, Ranson memohon ganti rugi melebihi AS$50,000 (kira-kira RM235,000) dan menuntut kes itu dibicarakan di hadapan juri.
Dia mendakwa mengalami pelbagai kesan akibat insiden berkenaan termasuk kecederaan fizikal, kesakitan berpanjangan, tekanan emosi, hilang keupayaan menikmati kehidupan seperti biasa, kehilangan pendapatan, kemerosotan keupayaan bekerja, selain terpaksa menanggung kos rawatan hospital dan perubatan yang tinggi.