Skip to main content

Hiburan

Mia Nasir Tak Rela Jadi Isteri Kedua - “Kenapa Nak Kena Ambil Suami Orang?”

Mia Nasir

Sekilas

  • Mia Nasir menegaskan dia tidak akan menerima tawaran menjadi isteri kedua dan lebih memilih untuk berkahwin dengan lelaki bujang.
  • Dia rela hidup membujang daripada berkongsi suami dengan isteri lain dan percaya usaha bersama lebih penting dalam rumah tangga.
  • Mia bakal muncul dalam drama Pak Su Ammara yang akan ditayangkan pada 5 Januari depan bersama pelakon lain seperti Que Haidar dan Ummi Naziera.

Pelakon, Mia Nasir menegaskan pendiriannya untuk tidak sesekali menerima tawaran untuk menjadi isteri kedua dalam rumah tangga.

Menurut Mia atau nama lengkapnya Nur Farah Md Nasir, dia lebih selesa untuk mengahwini lelaki bujang berstatus daripada menjadi perosak kepada rumah tangga seseorang.

“Tidak pernah ditawarkan (menjadi isteri kedua). Itu adalah benda yang saya tidak mahu. Ramai lagi lelaki muda yang belum berkahwin.

“Kenapa nak kena ambil suami orang? Daripada nak layan anak orang, isteri pertama lagi. Saya lebih pilih menjadi isteri pertama. Mahu jadi permaisuri.

“Kalau tak ada duit sekalipun, kita boleh usahakan sama-sama, bina sama-sama. Kalau awak bekerja di McDonalds sekalipun tak apa. Sekurang-kurangnya dia bekerja, ada duit yang halal dan berusaha keras untuk kami,” katanya kepada Gempak.

Mia berkongsi perkara tersebut ketika ditemui semasa sesi penggambaran drama Pak Su Ammara di Kajang, Selangor pada Rabu.

Tambah adik kepada pelakon Anzalna Nasir itu, dia juga lebih rela hidup membujang daripada menjadi isteri kepada lelaki berstatus suami orang.

Ujarnya lagi, kewujudan individu yang digelar sebagai ‘penyondol’ berlaku apabila ruang yang ada dibuka sehingga menyebabkan berlakunya kecurangan.

“Saya rela membujang daripada jadi isteri kedua atau berkongsi dengan sesiapa. Suami orang, bye-bye!.

“Saya memang tidak akan layan. Benda ini jadi sebab salah seorang melayan juga. Kalau lelaki itu cuba tapi tidak layan, memang tidak jadi,” ujarnya.

Ketika ditanya adakah dirinya risau jika ada yang menggunakan cara halus untuk menawan hati, Mia selalu berdoa agar sentiasa mendapat perlindungan Allah SWT.

“Dia cuba cara mana pun, kalau Allah kata tak, maka tidaklah. Saya sentiasa berdoa untuk diri sendiri dan keluarga saya,” ujarnya.

Untuk perkembangan terbaharu, Mia bakal tampil menerusi drama Pak Su Ammara yang akan ditayangkan pada 5 Januari depan.

Selain Mia, drama ini turut dibintangi pelakon hebat lain seperti Que Haidar, Ummi Naziera, Syazwan Zulkifli, Dian P. Ramlee dan ramai lagi.

Must-Watch Video

Advertisement