Sekilas
- Michael Ang meluahkan rasa terkilan terhadap sikap sambalewa segelintir kru yang menyusahkan pelakon dan mengganggu jadual penggambaran.
- Beliau berkongsi pengalaman pelakon dipanggil ke lokasi salah akibat kesilapan call sheet yang berulang kali berlaku.
- Michael memilih untuk bersabar dan tidak bekerjasama lagi dengan individu bermasalah selepas penggambaran selesai.
Pengarah dan penerbit terkenal, Michael Ang tampil memberi penjelasan mengenai hantaran yang dibuatnya menerusi Instagram (IG) pada Selasa.
Menurut Michael, dia berasa sedikit terkilan dengan sikap segelintir kru yang dilihat sambalewa sehingga menyusahkan ramai pihak termasuk pelakon.
Tambah pengarah filem Kimchi Untuk Awak itu, situai seperti itu bukan berlaku sekali dua tetapi berkali-kali sehingga ada pelakon yang dipanggil ke lokasi yang salah sehingga mengganggu keseluruhan jadual penggambaran.
“Selalu orang kata saya ini seorang yang garang tapi sebenarnya, mereka yang tak sedar diri. Sebenarnya kesalahan dia orang menyusahkan banyak hidup orang, termasuk artis-artis.
“Bayangkan kalau artis duduk di Kuala Lumpur dan kita jalan penggambaran di Sekinchan dan suruh artis datang. Bila sampai set, rupanya tak ada scene. Bila tanya orang yang buat call sheet, dia jawab, ‘Sorry, terlepas pandang’.
“Kalau sekali dua kita faham, tapi kalau setiap situasi alasan dia tetap terlepas pandang, memang geram,” katanya kepada Gempak.
Michael berkongsi perkara tersebut ketika ditemui di set penggambaran drama terbaharu arahannya yang berjudul Wish List, pada Selasa.
Ditanya mengenai cara dirinya menangani isu tersebut, Michael memaklumkan dia memilih untuk bersabar dan memilih untuk tidak lagi bekerjasama dengan individu yang didakwanya bermasalah.
“Kalau marah lebih atau halau dia, nanti kita juga yang susah sebab kena buat semua balik. Jadi saya telan saja, kerja dengan dia sampai habis, lepas tu saya ‘delete’ macam orang tu tak wujud.
“Sama juga dengan pelakon yang tak berdisiplin. Saya habiskan shoot dulu, lepas tu memang tak guna lagi. Bukan blacklist, cuma kalau orang ajak kerja dengan dia, saya lebih rela tolak job tu.”
Terdahulu, Michael menyorot perhatian apabila memuat naik luahan serta rasa tidak puas hati terhadap sikap krunya yang didakwa mengamalkan sikap sambalewa sepanjang penggambaran drama bersama dengannya