Penyanyi, Haqiem Rusli mencipta rekod tersendiri selepas dianugerahkan Sijil Pengiktirafan Anugerah Emas RIM sebagai pengiktirafan terhadap kejayaan komersial mencapai pendapatan lebih RM100,000 dari penstriman lagu tersebut di platform digital menerusi lagu Mimpi.
Jumlah pendapat yang dicapai oleh single Mimpi telah diaudit oleh RIM berdasarkan angka sah dari jumlah muat turun serta strim audio dan video lagu tersebut di platform digital berkenaan.
Penganugerahan sijil ini menunjukkan tarikan berterusan rakaman muzik tempatan di kalangan peminat muzik di Malaysia dan rantau ini.
Lagu “Mimpi” merupakan hasil ciptaan bersama Haqiem Rusli dan penerbit drama terkenal, Dato’ A. Aida, serta diterbitkan oleh FMC Music.
Single ini dilancarkan dalam format digital pada 15 Disember 2020, manakala video muzik rasminya dimuat naik ke YouTube pada 7 Januari 2021.
Selepas pelancarannya, “Mimpi” dengan pantas telah berjaya menduduki tangga teratas carta trending YouTube dan meraih hampir satu juta tontonan dalam hanya beberapa hari pertama dari tarikh pelancarannya.
Mengulas mengenai pengiktirafan tersebut, Haqiem melahirkan rasa syukur dan penghargaan atas sokongan peminat serta semua pihak yang terlibat.
“Saya berasa amat terhormat menerima pengiktirafan ini daripada RIM. “Mimpi” adalah lagu yang istimewa buat saya, dan saya amat bersyukur atas sokongan daripada FMC Music, pasukan saya, dan semua yang telah mendengar lagu ini,” kata Haqiem Rusli.
Hiburan
‘Mimpi’ Terus Unggul, Haqiem Rusli Terima Pengiktirafan Emas RIM