Sekilas
- Program INNOVATHON kini semakin popular di Indonesia sebagai platform inovasi yang mengumpulkan bakat muda dan profesional teknologi untuk menyelesaikan cabaran semasa.
- Video pempengaruh Indonesia menunjukkan kekaguman mereka terhadap INNOVATHON dan berharap program seumpama ini dapat diperkenalkan di negara mereka.
- INNOVATHON adalah kerjasama Astro, Kementerian Ekonomi dan MOSTI yang telah memenangi Anugerah Content Asia 2024 sebagai program realiti inovasi terbaik Asia.
Tidak hanya di Malaysia, program INNOVATHON kini semakin mendapat perhatian di Indonesia sebagai platform inovasi yang menghimpunkan bakat muda, usahawan, dan profesional teknologi untuk mencipta penyelesaian terhadap pelbagai cabaran semasa.
Menerusi perkongsian video yang dimuat naik oleh pempengaruh Indonesia di platform YouTube @AboutSastra, mereka berpendapat INNOVATHON merupakan satu inisiatif bijak yang memberi ruang kepada generasi muda untuk menonjolkan idea kreatif dan membangunkan inovasi berimpak tinggi.
Sebagai bukti, video itu juga turut merakamkan wajah dan reaksi kagum ketiga-tiga mereka sebaik sahaja melihat salah satu daripada episod INNOVATHON yang dimainkan.
“Ada sebuah program yang pada saya tidak masuk akal, namanya INNOVATHON dan sudah pun memasuki musim ketiga.
“Program ini juga memperlihatkan penglibatan pihak kementerian, jadi menterinya pun sensitif dan ada inisiatif untuk program sebegini,” katanya.
Malah mereka juga berharap agar ada program seumpama INNOVATHON yang akan diketengahkan di negara mereka.
“Semoga program ini menginspirasi para industri media untuk sentiasa berinivasi dan harus berani untuk ‘breakthrough’ mainstream.
“Harus ada sumbangsihnya juga untuk rakyat, pendidikan, perkembangan dan pertumbuhan,” ujar mereka.
Untuk info, Program TV inovasi terbaik Asia, INNOVATHON merupakan kerjasama antara Astro, Kementerian Ekonomi dan MOSTI.
INNOVATHON merupakan sebuah program realiti tv berteraskan sains, teknologi dan inovasi sebagai platform untuk mengangkat Kemahiran dan idea inovatif dalam kalangan rakyat Malaysia bagi mencari penyelesaian dan juga penambahbaikkan terhadap isu sosioekonomi semasa.
Telah dinobatkan sebagai pemenang Anugerah Content Asia 2024 dalam kategori program realiti original dan/atau Pertandingan Terbaik, INNOVATHON musim 1 telah membuktikan bahawa program seumpama ini mendapat sambutan yang memberangsangkan.
Pencapaian ini menggambarkan dedikasi Astro dalam menghasilkan program yang ilmiah dan pelbagai yang bukan sahaja menepati citarasa para penonton di Malaysia, tetapi juga di seluruh Asia.