Sekilas
- Wany Hasrita berkongsi video di TikTok tentang anak perempuannya, Aishah Al Iman, yang mengalami penyakit Inguinal Hernia atau angin pasang.
- Wany menjelaskan penyakit ini juga boleh berlaku pada kanak-kanak perempuan dan penting untuk ibu bapa memeriksa kawasan kelangkang dan ari-ari anak mereka.
- Tujuan perkongsian ini adalah untuk memberi kesedaran supaya ibu bapa segera mendapatkan pemeriksaan doktor jika anak mempunyai benjolan atau bengkak luar biasa.
Penyanyi Wany Hasrita menyorot perhatian apabila berkongsi video memperlihatkan anak perempuannya, Aishah Al Iman menerima rawatan di sebuah hospital.
Menerusi perkongsian di TikTok, Wany mendedahkan puteri sulungnya itu mengalami penyakit Inguinal Hernia atau angin pasang.
Berkongsi mengenai perkara berkenaan, penyanyi lagu Menahan Rindu itu berkata penyakit itu juga boleh terjadi kepada kanak-kanak perempuan.
“My strong girl! Aishah sebenarnya kena Inguinal Hernia. Minggu lepas perasan ‘eh kenapa macam bengkak sebelah ni’. Sebelum ni tak ada pun.
“Pergi scan rupanya itu. Inguinal hernia pun boleh jadi pada kanak-kanak perempuan tau. Periksa anak perempuan anda, terutamanya di sekitar kawasan kelangkang dan ari-ari.
“Kadang-kadang kita tak perasan sebab kawasan tu ada lemak tisu yang boleh buat benjolan nampak tak begitu ketara,” kongsinya.
Dalam pada itu, Wany memberitahu dia berkongsi mengenai masalah yang dialami anaknya kerana ingin memberi kesedaran kepada ibu bapa supaya mengambil langkah cepat jika anak perempuan mempunyai benjolan atau bengkak luar biasa.
“Berkongsi kesedaran ini sebab Wany sendiri pun tak sangka benda ni boleh jadi pada anak perempuan.
“Kalau nampak ada benjolan atau bengkak yang luar biasa, tolong dapatkan pemeriksaan doktor,” ujarnya.
Sumber - TikTok