Pelakon, Mira Filzah akui watak Billa dalam drama Mandul Bukan Pilihan membuka matanya terhadap makna sebenar tentang sebuah perkahwinan.
Menurut Mira, kebahagiaan dalam rumah tangga tidak seharusnya hanya tertumpu pada kehadiran cahaya mata, tetapi lebih kepada ikatan emosi dan sokongan antara suami isteri.
Advertisement
“Pandangan saya berubah selepas melakonkan watak itu, perkahwinan bukanlah tentang memiliki anak sahaja, sebenarnya lebih daripada itu.
“Bila tengok keseluruhan cerita selepas penggambaran drama ini, saya rasa indah sangat sesebuah perkahwinan itu bila kita dapat pasangan yang sangat memahami dan supportive.
“Betul lah, pada akhirnya kalau kita ada anak pun, bila mereka sudah besar, dah berkahwin, kita akan tinggal dengan pasangan kita juga.
“Jadi sangat penting untuk mendapat pasangan yang sentiasa memberi sokongan kepada kita sampai akhir hayat,” katanya ketika ditemui Gempak baru-baru ini.
Mengulas mengenai Billa, Mira berkata watak itu bukan sahaja mencabar dari segi lakonan, tetapi juga lebih kepada kekuatan emosi yang diperlukan untuk menjayakannya.
“Nak kata susah tu susah juga, nak kata senang pun tak juga sebab saya dapat pelakon pelakon lain yang hebat.
“Dapat pengarah yang hebat dan skrip yang bagus jadi benda ni semuanya secara tidak langsung membantu saya untuk membawa watak Billa ini.
“Tapi nak kata dari segi pengalaman, saya rasa susah sebab watak itu melibatkan emosi yang susah kita nak jangka sebenarnya.
“Lain orang lain caranya. Setiap wanita, lain cara pembawakannya nak mengalami TTC (trying to conceive), penyakit kanser dan sebagainya. Jadi pada saya susahnya adalah di situ,” jelasnya.
Mandul Bukan Pilihan dibintangi oleh barisan pelakon hebat termasuk Hun Haqeem, Mira Filzah, Ayda Jebat, Ashraf Muslim, Normah Damanhuri, Chacha Maembong, Keanu Azman, Sharifah Shahira, Rahim Jailani, Wan Raja dan ramai lagi.
Saksikan episod akhir ‘Mandul Bukan Pilihan’, malam ini di slot Megadrama, jam 10 malam di Astro Ria (saluran 104), Astro One dan boleh distrim melalui Astro GO serta aplikasi Sooka.