Sekilas
- Mira Filzah berkongsi rasa sebak dan tumpang gembira melihat kebahagiaan Bella Astillah yang dikenali hampir 10 tahun.
- Mira memuji sifat baik hati dan ringan tulang Bella serta menitipkan doa agar Syed Saddiq membahagiakan isterinya.
- Majlis resepsi pasangan Syed Saddiq dan Bella di Muar dihadiri lebih 10,000 tetamu dari pelbagai lokasi termasuk Singapura dan beberapa negeri di Malaysia.
Pelakon, Mira Filzah mengakui berasa sebak dan tumpang gembira melihat kebahagiaan pelakon, Bella Astillah yang dikenalinya sejak hampir 10 tahun lalu.
Menurut Mira, dia menyaksikan sendiri perkembangan Bella sejak awal perkenalan mereka sekitar tahun 2016 hingga 2017.
Disebabkan itu juga, Mira turut berasa bahagia melihat Bella melangkah ke alam perkahwinan bersama Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.
“Saya sebenarnya dah kenal Bella lama, hampir 10 tahun dari 2016 ke 2017 macam tu, jadi bila kita antara orang yang melihat perkembangan Bella sampai ke hari ini sudah tentu kita rasa sebak dan tumpang bahagia untuk dia.
“Melihat dia gembira, saya doakan semoga perkahwinan ini kekal hingga akhir hayat sampai ke syurga,” katanya kepada Gempak.
Mengulas mengenai Bella, Mira menyifatkan rakannya itu sebagai seorang yang baik hati, ringan tulang dan sentiasa bersedia membantu orang lain.
Malah, Mira juga turut menitipkan pesanan buat Syed Saddiq agar menjaga dan menjadikan Bella sebagai wanita paling bahagia di dunia.
“Mengenali Bella, dia seorang yang sangat baik hati, ringan tulang, suka membantu dan tolong orang.
“Selamat pengantin baru kepada YB Syed Saddiq dan Bella, semoga YB dapat membahagiakan Bella dan menjadikan Bella wanita terbahagia di dunia,” ujarnya.
Untuk info, lebih 10,000 tetamu hadir memeriahkan majlis resepsi pasangan pengantin baharu, Syed Saddiq dan Bella Astillah yang berlangsung di Muar, Johor pada Ahad.
Majlis yang bertemakan kenduri rakyat itu bukan sahaja menghimpunkan penduduk setempat, malah turut menerima kehadiran tetamu dari pelbagai lokasi termasuk Singapura, Sabah, Sarawak, Terengganu dan Kelantan.
Terdahulu, Syed Saddiq dan Bella atau nama sebenarnya Dayang Ara Nabellah Awang Astillah, 32, selamat disatukan sebagai suami isteri dengan sekali lafaz pada 10 Oktober lalu di Menara Merdeka 118, Kuala Lumpur.