Sekilas
- Aliff Aziz menganggap pujian Datuk M. Nasir tentang dirinya sebagai pelakon tampan hanyalah gurauan dan lebih fokus untuk menghidupkan watak Sultan Mansur Shah dalam teater muzikal Mansur & Liu.
- Aliff menegaskan pemilihannya melalui proses uji bakat yang melibatkan nyanyian, lakonan dan pergerakan, serta berterima kasih atas kepercayaan yang diberikan oleh M. Nasir dan Datin Marlia.
- Teater muzikal Mansur & Liu akan dipentaskan di Istana Budaya dari 10 hingga 20 September, menampilkan barisan pelakon termasuk Melinda Dadew, Amerul Affendi dan Hazama.
Pelakon dan penyanyi Aliff Aziz menganggap pujian Datuk M. Nasir yang menyifatkan dirinya antara aktor tampan sehingga dipilih sebagai teraju utama teater muzikal Mansur & Liu sekadar gurauan.
Menurut Aliff, dia tidak terlalu memikirkan mengenai pujian tersebut sebaliknya mahu memberikan fokus sepenuhnya dalam menghidupkan watak Sultan Mansur Shah.
“Tidaklah, saya rasa Datuk hanya bercanda dan bergurau sahaja.
“Tapi untuk saya, saya mahu fokuskan bagaimana untuk hidupkan watak ini. Ia tidak semestinya tentang apa yang watak itu ada atau bagaimana rupa dan sebagainya.
“Jadi pada pendapat saya, di mata Datuk dan Datin Marlia Musa mungkin saya mempunyai rupa yang mereka inginkan untuk watak Sultan Mansur dalam lensa mereka,” katanya.
Aliff berkata demikian ketika ditemui pada sidang media teater muzikal Mansur & Liu di Istana Budaya, Jumaat lalu.
Bagaimanapun, Aliff berkata, pemilihannya bukan dibuat berdasarkan penampilan semata-mata kerana dia tetap perlu melalui proses uji bakat merangkumi beberapa aspek.
“Sudah semestinya kami perlu menjalani uji bakat untuk nyanyian, lakonan dan pergerakan.
“Saya tak tahu bagaimana nak jelaskan tetapi saya rasa ini adalah rezeki.
“Saya sangat-sangat berterima kasih kepada Datuk M. Nasir dan juga Datin Marlia kerana memberikan saya kepercayaan untuk memainkan watak utama dalam pementasan muzikal Mansur & Liu ini,” ujarnya.
Dalam pada itu, Aliff mengakui berasa gementar dan teruja apabila berpeluang bekerjasama dengan M. Nasir buat pertama kali.
Malah, dia menyifatkan peluang menimba ilmu daripada maestro muzik tersebut sebagai satu pengalaman berharga buat dirinya.
“Saya memang ‘starstruck’ dan berdebar juga pada awalnya. Tetapi Datuk ialah seorang yang sangat kurang bercakap.
“Tetapi apabila dia berkata-kata, kita akan terfikir, ‘Oh, macam ini rupanya’.
“Dia seorang yang tidak lokek dengan ilmu. Apa sahaja yang kita nak tanya, dia akan berikan pencerahan.
“Kadang-kadang bila kita tengah buat latihan, kita tengok dia tutup mata menghayati,” katanya.
Terdahulu, M. Nasir secara berseloroh menyifatkan Aliff sebagai ‘pelakon kedua paling tampan di Malaysia’ ketika menjelaskan pemilihan aktor tersebut sebagai teraju utama Mansur & Liu.
M. Nasir bagaimanapun menjelaskan pemilihan barisan pelakon dibuat menerusi sesi uji bakat dengan mengambil kira beberapa kriteria termasuk kemampuan lakonan dan nyanyian.
Mansur & Liu turut menampilkan Melinda Dadew sebagai Puteri Liu selain Amerul Affendi, Sherry Alhadad, Hazama, Taqim Zaki, Brian Chan, Fadhli Masoot dan Anas Ridzuan.
Teater muzikal tersebut bakal dipentaskan di Panggung Sari, Istana Budaya bermula 10 hingga 20 September depan.