Sekilas
- Nabil Ahmad buat pertama kali terlibat dalam lagu raya berjudul ‘Tak Sabar Nak Raya’ bersama penyanyi Nabila Razali.
- Dia menerima tawaran kolaborasi itu untuk mencuba sesuatu yang baru dan tumpang populariti Nabila dalam bidang nyanyian.
- Nabil sangat teruja dengan peluang ini dan terbuka untuk kolaborasi lain jika ada yang berminat.
Buat pertama kali pengacara dan pelawak Nabil Ahmad muncul dengan lagu raya berjudul ‘Tak Sabar Nak Raya’ yang merupakan kolaborasi bersama penyanyi Nabila Razali.
Mahu mencuba sesuatu yang baharu dalam bidang nyanyian, Nabil mengakui dia menerima tawaran untuk kerjasama dengan Nabila kerana ingin menumpang populariti penyanyi itu.
“Tahun ini saya nak cuba sesuatu yang baru. Bila dapat tawaran ini, saya rasa macam ‘eh bestnya dapat cuba sesuatu yang baru’. Tak pernah buat dan tak pernah ada.
“Jadi, saya memang berharap lagu ini akan jadi viral sama macam lagu-lagu Bella yang sebelum ini, lagu dia memang tak pernah tak viral.
“Jadi, saya nak tumpang viral perkara yang baik. Bila saya buat (kolaborasi) dengan dia, dapatlah tumpang populariti dia dalam bidang nyanyian,” katanya kepada Gempak.
Dalam pada itu, pengacara MeleTOP itu memberitahu dia terus bersetuju apabila menerima panggilan daripada Nabila yang mengajaknya untuk menyanyi lagu raya bersamanya.
“Saya tak pernah dapat offer untuk lagu raya. Bila dapat panggilan daripada Bella, saya terus kata ‘on’ walaupun tak tahu pun lagu itu macam mana.
“Ini lagu raya pertama saya, jadi memang saya rasa amat teruja. Insya-Allah kalau dapat peluang lagi, saya terbuka untuk sesiapa yang dengar lagu Bella dan rasa saya ada potensi untuk kolaborasi, boleh contact saya,” ujarnya.