Sekilas
- Nadia Rosli tampil dengan single terbaru berjudul Aduh Gak Kuat, hasil kolaborasi bersama artis Indonesia, Ucie Sucita, yang menggabungkan elemen hipdut ceria dan bertenaga.
- Lagu ini mengangkat tema love confession dengan lirik yang mengandungi elemen humor dan flirting, sesuai untuk trend di media sosial seperti TikTok.
- Nadia menekankan keberanian meluahkan perasaan dan berazam untuk terus meneroka pelbagai genre muzik demi evolusi kerjaya seni.
Penyanyi muda, Nadia Rosli kembali mencuri perhatian apabila tampil dengan single terbaharu berjudul Aduh Gak Kuat hasil kolaborasi bersama artis Indonesia, Ucie Sucita.
Lagu tersebut mengetengahkan gabungan elemen hipdut yang ceria dan bertenaga sekali gus memperlihatkan sisi lebih ‘playful’ dalam perjalanan seni Nadia.
Sebelum ini, Nadia dikenali menerusi lagu berunsur emosi seperti Hati Yang Tercemar dan Sabarlah Hati yang mengangkat tema kekecewaan dalam percintaan.
Namun, menerusi Aduh Gak Kuat, penyanyi itu tampil dengan pembaharuan apabila berani meneroka genre berbeza yang lebih santai dan menghiburkan.
Lagu tersebut ditulis oleh Giant Prayash Trinanda dan Nabil Adesya Putra, selain turut digubah bersama Aji Suherri yang bertindak sebagai penerbit dan penyusun muzik.
Mengangkat tema ‘love confession’, karya berkenaan menggambarkan perasaan seseorang yang jatuh cinta sehingga tidak mampu lagi menyembunyikan perasaan.
Menariknya, lirik lagu itu turut diselitkan elemen humor dan ‘flirting’ yang mencuit hati, menjadikan ia mudah melekat di telinga pendengar.
Menurut Nadia, kekuatan utama lagu tersebut terletak pada susunan ‘beat’ yang berpotensi mencetuskan trend di media sosial.
“Lagu ini ada unsur hype beat yang boleh dijadikan trend, terutamanya bahagian catchy yang sesuai untuk ‘velocity trend’ di TikTok.
“Saya rasa itu antara elemen yang boleh buat lagu ini viral,” katanya.
Dalam masa sama, Nadia turut menekankan kepentingan keberanian dalam meluahkan perasaan seperti yang digambarkan dalam lagu tersebut.
“Sangat penting untuk kita berani meluahkan perasaan supaya kita tahu sama ada perasaan itu berbalas atau tidak.
“Ia juga mengelakkan kita daripada memendam rasa terlalu lama, bukan soal ditolak atau tidak, tetapi tentang kejujuran pada diri sendiri,” ujarnya.
Tambah Nadia, bagi memastikan penyampaian lagu itu kekal natural dan penuh emosi, dia membayangkan momen bahagia dalam hidup ketika proses rakaman.
“Saya bayangkan situasi ceria bersama keluarga dan kawan-kawan supaya vibe lagu ini lebih hidup kerana Aduh Gak Kuat memang perlukan tenaga yang fun dan positif,” katanya.
Dalam pada itu, Nadia turut terbuka untuk terus meneroka pelbagai genre muzik sebagai sebahagian daripada evolusi kerjayanya.
“Saya mahu ‘explore’ sebanyak mungkin supaya terus relevan dan tidak berada dalam zon selesa,” katanya.
Aduh Gak Kuat kini boleh didengarkan di semua platform penstriman digital.