Penyanyi dan usahawan, Nubhan Ahamad menafikan dakwaan kononnya dia telah membeli sebuah rumah di Southville, Dengkil, Selangor.
Advertisement
Jelas Nubhan atau nama penuhnya Ahmad Nubhan Ahamad, rumah tersebut hanyalah rumah sewa yang dijadikan tempat untuknya mengasingkan diri sementara waktu bagi mengelak sebarang pertengkaran di hadapan anak-anak.
“Saya tak beli rumah itu, saya sewa sahaja. Disebabkan atas apa yang berlaku, saya perlu mengasingkan diri. Saya tak nak bila bergaduh ia dilihat oleh anak-anak, saya tak nak mereka sedih dan tak mahu perkara itu berada dalam ingatan mereka.
“Saya nak jaga emosi anak-anak, jadi saya keluar dari rumah itu supaya saya dapat kawal emosi saya dan tak mahu anak-anak rasa tertekan,” katanya kepada Gempak.
Dalam masa sama, Nubhan menegaskan hubungan antara dirinya dan isteri masih berada dalam keadaan baik, meskipun berdepan ujian dalam rumah tangga.
“Hubungan kami baik sebab kami tahu anak-anak memerlukan kami. Dia pun menjaga anak-anak saya dengan baik, Alhamdulillah. Tidak ada perkara-perkara buruk yang berlaku,” ujarnya.
Untuk rekod, Nubhan pernah melafazkan talak satu kepada isterinya, Afifah, pada tahun 2017 ketika wanita itu sedang hamil enam bulan anak pertama mereka.
Namun, pasangan ini kembali rujuk, meskipun lafaz talak dan rujuk tersebut tidak dilaporkan kepada Mahkamah Syariah dan pejabat agama.
Baru-baru ini, Nubhan memfailkan pengesahan lafaz talak pertama (2017), rujuk, serta lafaz talak kedua (Ogos 2025) di Mahkamah Rendah Syariah Sepang.
Sebagai info, Nubhan dan Afifah, yang juga seorang doktor gigi, mendirikan rumah tangga pada 29 Ogos 2015 selepas hampir setahun bertunang.
Perkahwinan mereka dikurniakan tiga cahaya mata iaitu Aafiya (8 tahun), Ahmad Aaffan (6 tahun) dan Afzan Nayille (3 tahun).