Sekilas
- Zaki Yamani mengamalkan prinsip penampilan kemas dan sentiasa bersedia dalam kehidupan harian, dipengaruhi oleh didikan ibunya yang pernah menjaga Datuk Jamal Abdillah.
- Beliau percaya penampilan yang terjaga dan kecergasan fizikal penting untuk membuka peluang kerjaya serta memastikan prestasi terbaik ketika persembahan.
- Zaki baru sahaja melancarkan single terbaharu berjudul Akur yang mengisahkan tentang cinta, perubahan hati, dan keberanian menerima pengakhiran yang tidak dijangka.
Penyanyi, Zaki Yamani mengakui penampilan kemas dan sentiasa bersedia menjadi prinsip yang diamalkan dalam kehidupan sehariannya.
Kata Zaki, sikap tersebut sedikit sebanyak dipengaruhi oleh didikan ibunya yang pernah menjaga bapanya, penyanyi legenda Datuk Jamal Abdillah suatu ketika dahulu.
“Alhamdulillah, saya ada ibu yang sangat menyokong dan pernah menjaga ayah saya suatu ketika dahulu.
“Saya beruntung sebab ibu menjaga ayah dahulu dan apa yang ayah amalkan bukan sekadar menyanyi tetapi gaya hidupnya. Mak saya turunkan kepada saya sedikit demi sedikit sebab saya tidak dapat duduk sekali dengan ayah,” katanya kepada Gempak.
Zaki Yamani berkata demikian ketika ditemui di majlis pelancaran single terbaharunya, Akur di ibu kota pada Jumaat.
Zaki turut berkongsi dia sememangnya gemar menjaga penampilan dan tidak suka keluar rumah dalam keadaan tidak bersedia.
Malah, dia menganggap penampilan yang kemas, wangi dan terjaga sebagai salah satu usaha untuk membuka lebih banyak peluang untuk kerjayanya.
“Saya pula suka penampilan yang kemas, saya tidak suka nampak tidak bersedia. Kalau saya keluar rumah, macam nak pergi berjalan padahal nak pergi 7 Eleven sahaja. Saya pakai kasut, tidak pakai selipar.
“Saya rasa bila kita jaga diri dalam keadaan kemas, wangi dan sebagainya, rezeki akan masuk. Itu cara saya. Mana tahu tiba-tiba ada orang di luar nak berborak pasal ‘show’ atau apa-apa, dan dia tertarik. Itu kita boleh buat PR,” ujarnya.
Dalam pada itu, Zaki juga berpendapat persediaan sebagai seorang penyanyi bukan hanya tertumpu kepada imej luaran, sebaliknya tahap kecergasan fizikal juga perlu diberi perhatian.
“Bukan dalam imej sahaja, tetapi dari segi kecergasan juga. Saya kerap ke gim dan lakukan kardio untuk bersedia bagi apa-apa sahaja.
“Sekiranya ‘show’ ada lima, enam atau sepuluh lagu yang bernada sangat tinggi, saya sudah pastikan saya dalam keadaan bersedia. Jadi lebih mudah,” tambahnya.
Dalam perkembangan lain, Zaki baharu sahaja melancarkan single terbaharunya berjudul Akur.
Menerusi single terbaharu ini, Zaki Yamani mahu mengajak pendengar menyelami sebuah perjalanan tentang cinta, perubahan hati dan keberanian menerima sebuah pengakhiran yang tidak pernah diminta.
Bukan sekadar sebuah lagu tentang patah hati, Akur membawa persoalan yang mungkin pernah terlintas dalam fikiran sesiapa sahaja yang pernah ditinggalkan; bagaimana seseorang yang pernah begitu dekat, akhirnya boleh menjadi begitu jauh?