Penyanyi, Putri Dahlia memilih untuk menukar nama pentasnya dan mahu dikenali sebagai Dahlia.
Jelasnya, keputusan itu dibuat selepas merasakan nama Putri terlalu sinonim dengan imej tertentu.
“Saya nak tukar nama daripada Putri Dahlia kepada Dahlia saja. Saya rasa nama Putri Dahlia itu sinonim sebagai ikon islamik.
“Saya nak jadi diri saya, Dahlia saja,” jelasnya.
Dahlia berkongsi perkara itu ketika ditemui di acara AIM24 yang berlangsung di Arena Of Stars, Genting Highlands pada malam Sabtu.
Advertisement
Mengulas mengenai kecaman atau kritikan netizen, penyanyi ini mengakui sudah tidak lagi menumpukan perhatian kepada komen di media sosial.
“Saya sebenarnya tak baca komen atau kecaman netizen. Bukan saya tidak peduli tetapi saya sedang fokus untuk album baharu.
“Di masa hadapan, saya memang tidak akan baca komen-komen netizen dan hanya mahu fokus hubungan dengan Allah saja,” katanya.
Terdahulu, Dahlia menyorot perhatian netizen selepas tidak lagi mengenakan hijab.
Menurutnya, keputusan tersebut dibuat atas pilihan peribadi dan bukan kerana mahu mencetuskan kontroversi.
Dalam pada itu, Dahlia menjelaskan bahawa keputusan untuk tidak lagi berhijab bukan sekadar soal penampilan, sebaliknya langkah untuk memulakan perjalanan baharu dalam memahami agama dengan lebih mendalam.