Sekilas
- Izzul Faiq, pelakon baharu, mendapat peluang besar membawakan watak antagonis dalam filem Chelot selepas hadir uji bakat saat akhir.
- Walaupun kurang aktif di media sosial, Izzul fokus pada kerja dan tidak pernah putus asa mengejar impian dalam dunia lakonan.
- Selain Chelot, Izzul juga terlibat dalam projek filem klasik bersama pelakon terkenal yang dijangka tayang tahun ini.
Pelakon baharu, Izzul Faiq tidak menyangka percubaannya menghadiri sesi uji bakat pada saat akhir akhirnya membuka peluang besar dalam kerjayanya apabila ditawarkan membawakan watak antagonis dalam filem Chelot arahan pengarah terkenal, Adrian Teh.
Menurut Izzul, 28, pengalaman tersebut cukup bermakna memandangkan dia perlu bersaing dengan pelakon yang lebih dikenali dan berpengalaman.
“Bila difikirkan, siapalah saya nak dibandingkan dengan pelakon-pelakon muda sedia ada. Jujur pengalaman ini sangat berharga”, jelasnya.

Izzul turut berkongsi bahawa ketika tawaran uji bakat itu diterima, dia sebenarnya sedang terlibat dengan penggambaran drama lain. Namun, dengan sokongan pasukan pengurusan, dia tetap hadir walaupun pada saat-saat akhir.
“Kalau diikutkan, saya sedang menjalani penggambaran drama ketika Pengarah Ujibakat menghubungi Pengurus saya. Namun atas sokongan dan perbincangan bersama, kami berjaya hadir di saat akhir. Alhamdulliah, rezeki tidak salah alamat”, kongsi Izzul.
Membawakan watak aksi dan antagonis sebenarnya merupakan antara impian besarnya sejak awal bergelar pelakon. Walaupun namanya belum sepopular rakan seangkatan lain, Izzul tidak pernah berhenti bermimpi dan berusaha.
“Nama saya belum lagi besar dan gah. Tapi tak salah untuk kita bermimpi. Sebelum ini banyak tawaran watak remaja, pelajar kolej dan juga watak sampingan. Tapi saya tidak pernah rasa putus asa. Saya yakin, rezeki semua orang telah ditetapkan," tambahnya.
Dalam era digital masa kini, jumlah pengikut di media sosial sering dilihat sebagai salah satu faktor penentu populariti dan peluang kerja. Namun bagi Izzul, dia mengakui kurang aktif mengemas kini laman sosialnya kerana lebih memberi tumpuan ketika berada di set penggambaran.
“Saya kurang aktif di laman sosial. Pengurus saya banyak kali juga pesan untuk sentiasa kemas kini hantaran. Saya cuba yang terbaik. Saya jarang pegang telefon ketika di set. Itulah masalahnya," kata Izzul berseloroh.

Selain Chelot, Izzul turut terlibat dalam sebuah lagi projek filem bergenre klasik yang menampilkan barisan pelakon seperti Mira Filzah dan Kamal Adli. Filem tersebut kini dalam fasa pasca produksi dan dijangka menemui penonton tahun ini.