Sekilas
- Ceddy Ang kecewa selepas tidak dibenarkan masuk ke restoran walaupun waktu operasi masih belum tamat, dan cara pengurus restoran melayan mereka dianggap kurang mesra.
- Pengasas restoran telah menghubungi Ceddy untuk memohon maaf dan berjanji akan melatih pekerja supaya kejadian sama tidak berulang.
- Ceddy menafikan video yang dimuat naik adalah gimik dan menegaskan dia tidak berniat untuk membuat reviu restoran tersebut, hanya mahu makan sahaja.
Pempengaruh media sosial dan penyanyi, Ceddy Ang meluahkan rasa kecewa selepas berdepan pengalaman kurang menyenangkan ketika berkunjung ke sebuah restoran terkenal baru-baru ini.
Menurut Ceddy, dia bersama rakan-rakannya tiba di restoran berkenaan sekitar pukul 9.45 malam, namun tidak dibenarkan masuk meskipun waktu operasi yang tertera di Internet menunjukkan premis itu ditutup pada pukul 11 malam.
Jelasnya, dia tidak mempunyai masalah sekiranya pihak restoran memaklumkan penutupan lebih awal atas sebab tertentu. Bagaimanapun, cara pengurus premis tersebut menyampaikan perkara itu menimbulkan rasa kurang senang.
“Sebelum pergi ke kedai tersebut, saya buat carian di Internet mengenai waktu operasinya yang tutup pada pukul 11 malam.
Jadi kami pergi ke situ pada pukul 9.45 malam namun kedatangan kami ditolak dengan alasan kedai sudah tutup.
“Saya tak kisah kalau dia beritahu kami dengan cara baik, mungkin kedai ditutup awal sebab hal hal tertentu. Tapi, caranya kurang mesra, kasar dan dalam keadaan marah.
“Saya tak akan pergi kalau kedai itu waktu operasinya berakhir tepat waktu yang ditetapkan. Tapi dengan nada yang kurang mesra, pengurus kedai itu memaklumkan sebaliknya. Jadi sekarang kita persoalkan kenapa tutup awal sedangkan waktu operasi belum berakhir?,” katanya kepada Gempak.
Ceddy berkata demikian ketika ditemui pada sidang media dan pelancaran Anugerah Melodi Terhangat (AMT) 2026 X Cuckootopia di Ballroom, Hyatt Regency Kuala Lumpur pada Khamis.
Dalam perkembangan sama, Ceddy memaklumkan bahawa pengasas bagi restoran tersebut sudah pun menghubunginya secara peribadi untuk memohon maaf.
“Pengasas kedai makan itu hubungi saya dan ikhlas memohon maaf. Dan pada masa sama memaklumkan operasi mereka sebenarnya berakhir pukul 11 malam yang mana tempahan terakhir akan diambil pada pukul 10.45 malam.
“Beliau juga memaklumkan memang berlaku kes yang sama sebelum ini, jadi akan melantik pekerja lebih berpengalaman untuk mengadakan bimbingan supaya kejadian sama tidak berlaku lagi.
“Saya tidak mahu pengurus itu dibuang kerja. Cukup sekadar dia dibimbing dan diberi latihan untuk memperbetul kesalahan dan memantapkan perkhidmatannya.
“Saya tak ada masalah untuk kembali ke cawangan yang lain kerana saya tahu makanan yang dihidangkan sangat okey. Malah pemilik kedai berhasrat untuk menjemput saya ke cawangan baharu, namun beliau segan kerana video saya sudah tular,” katanya lagi.
Mengulas dakwaan segelintir orang yang mengatakan video dimuat naik itu sekadar gimik untuk menarik perhatian orang ramai, Ceddy tampil menafikan.
“Saya tidak membuat video itu kerana gimik, malas layan perkara begitu. Apa yang saya dapat? Tak ada.
“Malah kalau diberi makan percuma juga saya menolak. Itu bukan amalan saya dan terbukti sebelum ini, semua reviu makanan yang saya buat adalah dibayar saya sendiri.
“Dan saya tidak merancang untuk membuat reviu di restoran berkenaan, sekadar datang untuk makan sahaja. Tapi, tak sangka pula layanannya sebegitu,” jelasnya.