Sekilas
- Sama Sama Tur di Idea Live Arena menyajikan persembahan dua jam 30 minit yang penuh jiwa dengan kolaborasi lima pemuzik hebat iaitu Dere, Idgitaf, Tulus, Sal Priadi dan Kunto Aji.
- Konsert ini menampilkan gabungan suara unik dan lagu-lagu hit yang disampaikan secara harmoni tanpa persaingan antara penyanyi, mencipta pengalaman muzik yang mengesankan.
- Penonton dapat menikmati persembahan solo dan kolaborasi yang berkualiti tinggi, menjadikan Sama Sama Tur sebagai acara muzik yang wajib diingati sebelum 2025.
Durasi dua jam 30 minit terasa singkat buat penonton yang pada awalnya diam-diam duduk menikmati sehingga berdiri dan menyanyi kencang di akhir persembahan Sama Sama Tur di Idea Live Arena yang perdana kali secara eksklusif menyapa peminat di Malaysia.
Buat peminat, kehadiran Sama Sama Tur yang diisi barisan pemuzik luar biasa ; dengan dua solois wanita bersuara unik, Dere dan Idgitaf bergabung bakat bersama tiga penyanyi lelaki yang sudah sohor di Malaysi ; Tulus, Sal Priadi dan Kunto Aji adalah cenderahati terbaik sebelum 2025 ditutup.

Masakan tidak, penonton bukan hanya menerima bias populariti setiap pemuzik tetapi larut dengan keahlian Tulus, Kunto Aji, Sal Priadi, Dere dan Idgitaf dalam menghipnotis lewat kolaborasi karya satu sama lain - yang disampaikan dengan penuh jiwa.
Di Sama Sama Tur, tiada pemuzik atau penyanyi yang ‘terbunuh’. Lima anak seni ini meski punya bakat hebat untuk ditonjolkan, mereka dihargai tanpa perlu ‘bertempur’ suara atau mematikan gemerlapan di antara satu sama lain.
Indahnya suara unik Dere dan Idgitaf masih terdengar sehingga kini. Kualiti penghibur Sal Priadi, Tulus dan Kunto Aji juga masih terbayang sehingga kini. Tidak hairan mengapa lima kota yang mereka jelajahi di tanah air sendiri tuntas tak ada ampun.

Sama Sama Tur berjalan sama-sama. Harmoni, manis, mengesankan dan indah ; baik daripada segi penataan pentas (permainan lampu yang cukup besar peranan) dan latar yang ‘cocok’ sehingga pemuzik yang mengiringi persembahan ini, semuanya seiring.

Pemandangan indah itu dilengkapi dengan pengalaman menonton lima pemuzik ini mendendangkan tembang hit mereka dan bertukar sukarela lagu yang dibawa dengan indah ; sekadar menyebut beberapa seperti Jatuh Suka, Kelana, Monokrom, Konon Katanya, Mesra-Mesranya, Tujuh Belas, Kita Usahakan Rumah Itu, Nala, Berisik, Gala Bunga Matahari, Hati-Hati Dijalanan dan Tumbang serta Takut - semuanya sempurna.


Sama Sama Tur yang dibawa bersama Expoindo, Thrive dan Tiga Dua Satu pada malam itu telah menjadikan kami jatuh suka dan cinta kepada konsep yang diketengahkan, jiwa ‘berapi-api’ yang ditonjolkan lewat persembahan solo dan kolaborasi serta berlapang dada untuk menonton persembahan mereka berlima lagi.
Bukan kerana mereka popular atau terasa kekinian menjadikan Tulus, Sal Priadi, Kunto Aji, Dere dan Idgitaf sebagai senarai penyanyi wajib dengar masa kini tetapi kerana menonton Sama Sama Tur seperti sedang menekuni ilmu muzik secara percuma dengan nikmat hiburan yang akan dikenang sampai mati.
