Sekilas
- Penyanyi Noh Salleh mengumumkan kelahiran anak sulungnya, seorang bayi perempuan bernama Tara Svara, pada 21 November lalu.
- Proses kelahiran berjalan lancar dan disambut dengan doa serta sokongan keluarga dan sahabat terdekat.
- Noh memohon doa agar perjalanan mereka sebagai ibu bapa sentiasa dalam lindungan Allah swt dan menerima ucapan tahniah daripada rakan artis serta peminat.
Penyanyi Noh Salleh berkongsi berita gembira apabila isterinya, Fatin Athira Mustapa telah selamat melahirkan anak sulung mereka pada 21 November lalu.
Perkhabaran manis itu diumumkan menerusi hantaran di Instagram pada awal pagi Rabu.
“Ia memerlukan kami mengharungi pelbagai ujian yang dasyat untuk menyedari bahwa hanya ALLAH Yang Maha Esa yang menentukan masa yang sempurna untuk sesuatu dituliskan menjadi milik kita. Tidak lambat, tidak terlalu cepat, Perfect,” tulisnya syukur.
Noh turut berkongsi momen-momen menyambut kelahiran cahaya mata sulungnya dalam siri foto hantaran yang sama.
Menurut Noh lagi, proses kelahiran anak mereka berjalan lancar dan disambut dengan doa, pelukan serta sorakan ahli keluarga dan sahabat yang dekat.
“Pada tanggal 21st November isteri saya telah melahirkan anak kami yang pertama. Seorang anak perempuan yang sihat dan sangat cantik.
"Berkat doa restu orang tua, keluarga, sahabat dan anda semua, proses kelahiran sangat lancar dan meriah kerana ditemani pelukan ciuman dan sorakan,” ujarnya.

Bayi perempuan mereka diberi nama Tara Svara, sekali gus menandakan permulaan fasa baharu buat pasangan ini sebagai ibu dan bapa.
“Sebuah fasa baru untuk kami dan mohon kalian doakan journey sebagai PARENTS ini sentiasa dalam lindungan Allah swt. Doakan Aku, Athira dan TARA SVARA," tambahnya.
Perkongsian tersebut dihujani ucapan tahniah daripada rakan artis dan peminat yang tumpang gembira dengan kelahiran puteri pertama pasangan itu.