Sekilas
- Noraniza Idris kini lebih berhati-hati berkongsi pandangan di media sosial, terutama di platform Threads, selepas menerima teguran daripada pengguna lain.
- Dia mengambil nasihat tersebut sebagai pengajaran dan mula meminta pandangan orang lain sebelum memuat naik hantaran, terutamanya ketika emosi.
- Noraniza mengakui tidak lagi berani meluahkan rasa geram secara terus di media sosial dan lebih menyusun ayat supaya tidak menyinggung perasaan orang lain.
Penyanyi, Noraniza Idris mengakui kini lebih berhati-hati ketika berkongsi pandangan dan perasaan di media sosial, khususnya menerusi platform Threads.
Menurut Noraniza, dia menerima teguran daripada segelintir pengguna media sosial yang menasihatinya supaya lebih berhati-hati ketika membuat hantaran.
Katanya, teguran yang diberikan secara peribadi itu diterima sebagai nasihat dan dijadikan sebagai pengajaran untuk memperbaiki cara penulisannya.
“Ada juga yang memberi komen supaya saya berhati-hati ketika membuat posting di Threads. Pada saya, saya ambil nasihat mereka,” jelasnya kepada Gempak.
Dalam pada itu, Noraniza juga turut mendedahkan bahawa dia kini akan meminta pandangan orang lain terlebih dahulu sebelum memuat naik sesuatu hantaran, terutama ketika berada dalam keadaan emosi.
“Sebab itu sekarang, saya punya konversasi di dalam posting tak macam sebelum ini. Jadi saya belajar daripada apa yang mereka komen secara peribadi yang okay, yang baik-baik saya ambil, insya-Allah.
“Walaupun kita rasa geram tetapi dia menjadi seperti ‘reverse psikologi’, kita menyusun balik ayat supaya orang lebih tak kecil hati.
“Kadang-kadang saya dah text, lepas tu saya copy dan beri kepada orang baca terlebih dahulu dan tanya adalah penulisan ini boleh buat orang kecil hati?
“Jika mereka kata tidak, maka saya akan buat posting. Sekarang dah tak berani nak luah rasa geram di media sosial. Tak boleh dan tak sesuai,” ujarnya.
Terdahulu, Noraniza Idris merupakan antara artis yang sering menggunakan platform Threads untuk mengeksresikan diri.
Malah baru-baru ini juga terdapat beberapa hantaran Noraniza yang menarik minat warga Threads termasuklah luahan mengenai isu tempahan baju dan juga teguran kepada penganjur.