Sekilas
- Norreen Iman tidak tersinggung dengan komen dan kritikan netizen di media sosial kerana dia sudah biasa dengan pelbagai reaksi sejak awal kerjaya seni.
- Dia menerima semua pandangan, sama ada suka, ketawa, atau benci, dan memilih untuk memaafkan selagi tiada fitnah terlibat.
- Norreen menganggap reaksi netizen sebagai sebahagian perjalanan hidup dan kerjayanya, serta mengajak semua untuk bersabar dan tenang dalam berinteraksi.
Pelakon, Norreen Iman mengakui tidak tersinggung dengan pelbagai komen, kritikan mahupun kecaman yang dilemparkan netizen terhadap dirinya di media sosial.
Norreen menerusi hantaran di platform Threads berkata, dia sudah biasa berdepan dengan pelbagai reaksi terhadap kandungan yang dikongsikan di media sosial.
Malah kata Norreen, dia juga menyedari, sejak awal pembabitannya dalam industri seni, media sosial menjadi antara medium yang membentuk perjalanan kerjayanya.
“Assalamualaikum semua. Begini ceritanya. Saya sudah melihat dan tahu apa yang orang ramai katakan mengenai saya.
“Ada sesetengah perkara yang saya rasa kelakar, ada juga yang saya rasa agak keterlaluan, tetapi saya tidak tersinggung. Sebabnya, perjalanan saya dalam industri ini sendiri pun bermula melalui media sosial.
“Ada yang suka kandungan saya, ada yang ketawa, ada yang menyampah, dan ada juga sesetengah yang menganggapnya terlalu cringe. Saya okay dengan semua itu.
“Dan aku sendiri faham, apa yang aku post, aku sendiri yang buka ruang untuk orang berkata-kata.
“Jadi, saya tidak kisah apabila orang bash, kecam, atau membuli saya berdasarkan apa yang saya kongsikan di media sosial kerana orang akan terus bercakap berdasarkan apa yang mereka lihat dan dengar,” tulisnya.
Bagaimanapun, Norreen menegaskan segala komen atau pandangan orang ramai mengenai dirinya tidak akan menentukan siapa dirinya yang sebenar.
Sebaliknya, dia memilih untuk memaafkan mereka yang mengkritiknya selagi perkara yang diperkatakan itu tidak membabitkan fitnah.
“Dan mereka melihatnya sebab saya post. Tetapi segala apa yang anda katakan mengenai saya tidak akan menentukan siapa diri saya.
“Tak mengapa. Selagi benda itu bukan fitnah, saya maafkan sahaja anda semua. Daripada Twitter, Facebook, Instagram, hinggalah Threads, semuanya hanyalah platform untuk orang berkata-kata, melepaskan amarah, menghabiskan masa, dan juga selain untuk hiburan, info, ilmu.
“Jadi, chill, saya tak marah. Kelakar jugak saya tengok diri sendiri sampai jadi meme. Tapi apa pun itulah kehidupan,” tegasnya.
Dalam pada itu, Norreen juga menganggap pelbagai reaksi yang diterimanya daripada netizen sebagai sebahagian daripada perjalanan hidup dan kerjayanya dalam industri seni.
“Kita semua sudah melalui banyak perkara dalam hidup. Begitu juga saya. Korang ini semua penyaksian nyata dalam hidup saya dan mungkin sebahagian daripada perkara ini akan menjadi penceritaan yang menarik dalam perjalanan hidup saya.
“Ada yang nasihat, ada yang mendoakan. Saya sayang korang. Walaupun ada yang benci, menyampah, tapi maaflah, kita sebenarnya tidak mengenali satu sama lain.
“Jadi, tenangkan diri dan sabar kerana cara kita bertindak menunjukkan siapa diri kita yang sebenar dalam kehidupan,” tulisnya.
Untuk rekod Norreen Iman bercerai dengan Razzi dengan talak satu pada 21 Mei lalu dan penampilannya mula menjadi bualan selepas bercerai.
Sumber: Threads @norreen143