Mahkamah Rendah Syariah Sepang mengesahkan penyanyi Nubhan sah cerai dengan bekas isterinya iaitu Dr Afifah Hidayah Ahmad Tawfek buat kali kedua.
Peguam yang mewakili Nubhan iaitu Mohd Ridzuan Ramli berkata lafaz cerai pertama dilakukan pada 19 Januari 2017 dan rujuk pula pada 21 Januari 2017 manakala lafaz cerai kedua berlaku pada 26 Ogos lalu.
“Nubhan mengesahkan terdapat dua lafaz cerai di luar mahkamah dan mahkamah pun telah sahkan lafaz cerai pertama pada 19 Januari 2017 dan berlaku rujuk pada 21 Januari 2017. Untuk kali kedua lafaz cerai berlaku pada 26 Ogos 2025.
“Mahkamah mengesahkan dua lafaz cerai dan rujuk tersebut. Pihak defendan (Dr Fie) diperintahkan untuk melalui proses idah bermula 26 Ogos dan kemungkinan telah habis,” katanya kepada Gempak.
Nubhan dan peguamnya ditemui selepas selesai prosiding pengesahan lafaz cerai yang diadakan di Mahkamah Rendah Syariah Sepang, Selangor pada Selasa.
Dalam pada itu peguam Dr Fie iaitu Datuk Akberdin Abdul Kader berkata pihaknya akan berunding dengan Nubhan berkaitan isu melibatkan harta pencarian, mutaah dan nafkah anak.
“Kita akan cuba berunding dengan pihak plantif. Kalau dapat capai kata sepakat, kita akan terus record kan kepada mahkamah,” katanya,
Terdahulu, Nubhan memfailkan pengesahan dua lafaz cerai dan satu lafaz rujuk terhadap isterinya di Mahkamah Rendah Syariah Sepang, membabitkan lafaz yang berlaku pada 2017 dan 26 Ogos lalu, selain satu lafaz rujuk selepas talak pertama.
Untuk rekod, Nubhan dan Afifah yang juga seorang doktor gigi mendirikan rumah tangga pada 29 Ogos 2015.
Hasil perkahwinan mereka dikurniakan tiga cahaya mata iaitu Aafiya, 8, Ahmad Aaffan, 6, serta Afzan Nayille yang berusia tiga tahun