Sekilas
- Ryzal Ibrahim jelaskan batik yang dipakainya adalah hasil tempahan khas dari pereka fesyen Malaysia, bukan dari Indonesia.
- Ryzal bangga dengan keunikan batik Malaysia dan mengakui batik asalnya dari Indonesia tetapi Malaysia juga ada corak tersendiri.
- Ryzal kecewa dengan komen negatif yang mencetuskan perbalahan di ruangan komen dan menegur sikap kurang matang mereka.
Pempengaruh media sosial, Ryzal Ibrahim tampil memberikan penjelasan mengenai pakaian batik yang digayakannya susulan ruangan komen pada perkongsiannya dipenuhi perbalahan yang dipercayai melibatkan netizen Indonesia.
Menerusi perkongsian di Threads, Ryzal menjelaskan bahawa batik yang dipakainya itu merupakan hasil tempahan khas daripada pereka fesyen Malaysia dan bukannya dibeli dari Indonesia.
“Ini Batik Malaysia, tempahan khas dari Designer Malaysia, bukan beli di Indonesia harap maklum,” tegasnya.
Menurut Ryzal lagi, dia tidak pernah mendakwa batik yang dipakainya berasal dari Malaysia, sebaliknya hanya ingin menunjukkan rasa bangga terhadap hasil seni batik tempatan yang disifatkannya mempunyai keistimewaan tersendiri dan cantik.
“Saya tak pernah tegaskan batik ini asal atau dari Malaysia, saya hanya bangga batik buatan Malaysia pun cantik.
“Semua tahu Batik asal Indonesia, tapi Malaysia juga ada corak Batik tersendiri,” tulisnya.

Bagaimanapun, dalam hantaran yang sama, Ryzal turut meluahkan rasa kecewa terhadap segelintir netizen yang didakwa meninggalkan komen kurang menyenangkan sehingga mencetuskan perbalahan di ruangan komen.
Malah, dia turut menyindir tindakan individu terbabit yang disifatkannya tidak mencerminkan pemikiran matang meskipun dirinya mengakui kagum dengan sejarah Indonesia.
“Wahai warga Indonesia, saya kagum dengan sejarah kalian namun melihat jijiknya pemikiran dalam ruangan komen, kalian berjaya buktikan pada dunia IQ kamu sungguh rendah,” tegasnya.
Sebelum ini, Ryzal pernah berdepan dengan isu yang sama di mana dia meluahka rasa terkejut apabila foto percutian keluarganya ke Jakarta menjadi perbalahan dipercayai netizen Indonesia di ruangan komen.
Malah Ryzal juga tampil menjelaskan bahawa dia tidak mengetahui sebarang isu berkaitan Malaysia dan Indonesia, termasuk perkara membabitkan bola sepak.