Saat yang ditunggu buat peminat animasi tempatan, filem Papa Zola The Movie akan ditayangkan secara rasmi di pawagam seluruh negara mulai 11 Disember 2025.
Pengumuman ini telah dibuat oleh Ketua Pegawai Eksekutif MONSTA, Nizam Abd Razak, bersempena dengan acara tahunan MONSTACON 2025.
Advertisement
Sebagai permulaan kepada detik penantian tersebut, treler rasmi filem ini akan ditayangkan di saluran YouTube MONSTA pada 8 November 2025 jam 8 malam.
Dikenali menerusi alam semesta Power Sphera Universe (PSU) yang terus berkembang, MONSTA dengan kerjasama Astro Shaw dan FINAS mengambil langkah berani memperkenalkan Papa Zola sebagai watak utama dewasa pertama mereka.
Filem ini bakal menggabungkan elemen komedi, aksi dan emosi yang menyentuh hati.
“Penonton kami membesar bersama BoBoiBoy dan Papa Zola. Kini ramai antara mereka sudah menjadi belia dan ibu bapa.
“Cerita ini bukan sekadar komedi, ia tentang kasih sayang, pengorbanan dan belajar untuk melindungi apa yang paling penting dalam hidup,” ujar Nizam.

Bagi memeriahkan lagi tayangan filem ini, MONSTA akan melancarkan koleksi eksklusif barangan rasmi Papa Zola hasil kolaborasi bersama beberapa jenama terkenal tempatan.
Koleksi edisi terhad ini dijangka mendapat sambutan hangat dalam kalangan peminat.
Selain itu, kempen larian bertemakan filem Papa Zola The Movie Run: Kebena-RUN akan diadakan pada 7 Disember 2025 bersempena KL Car Free Day.
Acara ini terbuka kepada semua peringkat umur dan dijangka menjadi antara aktiviti pra-tayangan paling dinanti-nantikan.
Turut diumumkan, beberapa kandungan istimewa yang akan dilancarkan menjelang tayangan adalah:
#Siri animasi pendek Papa Delivery dan BoBoiBoy: Watak Sampingan sebagai pengisian awal sebelum filem.
#Penampilan terakhir Papa Zola dalam siri BoBoiBoy Galaxy Baraju bermula 18 Oktober 2025, disiarkan setiap Sabtu di YouTube MONSTA Network dan Netflix.
#Pelancaran figura khas FGURA dan topeng cahaya-berbunyi Operative Mask of P.A.P.A sempena tayangan filem.
#Treler tersembunyi eksklusif untuk BoBoiBoy Movie 3 yang hanya boleh ditonton di dalam Papa Zola The Movie.
Jangan lepaskan peluang untuk menyaksikan Papa Zola The Movie di pawagam seluruh negara bermula 11 Disember 2025.
Turut sama dalam gelombang keterujaan ini adalah siri BoBoiBoy Galaxy Baraju akan mula ditayangkan pada 18 Oktober 2025 bersama episod akhir Mechamato Musim 4, yang akan disiarkan menerusi Netflix dan saluran YouTube MONSTA Network.
Untuk maklumat lanjut dan kemas kini terkini, ikuti MONSTA di saluran media sosial rasmi mereka.