Skip to main content

Berita

Pelajar Lelaki Maut Jatuh Dari Tingkat 18 Kondominium

Pelajar Lelaki Maut Jatuh Dari Tingkat 18 Kondominium

Ringkasan AI

  • Seorang pelajar lelaki warga China berusia 18 tahun ditemui mati dipercayai terjatuh dari tingkat 18 sebuah kondominium di Bandar Baru Nilai.
  • Mayat mangsa ditemui di aras lima sekitar jam 7 pagi oleh penduduk yang kemudian menghubungi talian kecemasan.
  • Siasatan awal mendapati tiada kecederaan luaran mencurigakan, cuma terdapat pendarahan di telinga dan ruam pada badan mangsa.
  • Tiada barangan peribadi mangsa hilang dan lantai di lokasi kejadian didapati basah dipercayai akibat mangsa terkencing semasa kejadian.
  • Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut tanpa unsur jenayah, dan siasatan masih dijalankan oleh pihak polis.

Seorang pelajar lelaki warga China ditemui mati dipercayai terjatuh dari tingkat 18 sebuah kondominium di Bandar Baru Nilai di sini pada Rabu.

Mangsa berusia 18 tahun yang dikatakan pelajar sebuah kolej swasta di sini ditemui terbaring di aras lima bangunan berkenaan sekitar jam 7 pagi.

Ketua Polis Daerah Nilai, Superintenden Abdul Malik Hasim berkata, pihaknya menerima maklumat kejadian daripada orang awam yang memaklumkan terdapat seorang lelaki warga asing meninggal dunia.

"Penduduk setempat yang melihat lelaki itu kemudiannya menghubungi talian kecemasan 999.

"Siasatan awal mendapati mangsa tinggal di kawasan perumahan tersebut bersama seorang rakan senegara," katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.

Menurutnya, pemeriksaan awal oleh pasukan Forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Negeri Sembilan mendapati tiada kesan kecederaan luaran yang mencurigakan pada tubuh mangsa, selain pendarahan di bahagian telinga dan ruam pada badan.

Tambahnya, tiada barangan peribadi mangsa dilaporkan hilang di dalam rumahnya.

"Lantai di lokasi kejadian didapati basah dipercayai akibat mangsa terkencing semasa kejadian.

"Mayatnya telah dihantar ke Hospital Rembau untuk tujuan bedah siasat bagi mengenal pasti punca sebenar kematian," katanya.

Abdul Malik berkata, setakat ini, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut dan tiada unsur jenayah dikesan.

Justeru, orang ramai dinasihatkan tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kejadian bagi menghormati keluarga mangsa serta tidak mengganggu siasatan yang sedang dijalankan.

"Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat boleh menghubungi Balai Polis berdekatan atau Bilik Gerakan IPD Nilai ditalian 06-7902222," katanya.

Sumber: Sinar Harian

Must-Watch Video

Advertisement