Sekilas
- Aditya Zoni memaklumkan abangnya, Ammar Zoni, yang kini menjalani hukuman penjara atas kesalahan dadah berada dalam keadaan sihat walaupun sudah hampir dua bulan tidak berjumpa.
- Keluarga masih menunggu keputusan mahkamah dan terus memberikan sokongan serta semangat kepada Ammar sepanjang proses berjalan.
- Aditya juga berkongsi bahawa kontroversi abangnya tidak menjejaskan kerjayanya dan dia akan terus kuat menghadapi ujian dalam hidup.
Pelakon Indonesia, Aditya Zoni memaklumkan abangnya iaitu Ammar Zoni yang kini menjalani hukuman penjara atas kesalahan penyalahgunaan dadah berada dalam keadaan yang baik.
Menurut Aditya, sudah hampir dua bulan dia tidak berjumpa dengan Ammar yang juga seorang pelakon.
Justeru, dia memohon doa dari orang ramai agar segala urusan abangnya dipermudah.
“Alhamdulillah abang Ammar sihat saja dan doakan agar ada titik tolak di sebalik kejadian ini.
“Sebenarnya sudah lama saya tak berjumpa dengan dia. Kali terakhir ialah pada dua bulan yang lalu, sebelum dia dipindahkan ke penjara lain. Muka dia pun sekarang ini sudah kurus,” katanya kepada Gempak.
Aditya berkongi perkara tersebut ketika ditemui pada sesi sidang media filem Menjelang Magrib 2 yang diadakan di TGV 1 Utama, Petaling Jaya pada Isnin.
Ditanya mengenai perkembangan kes, pelakon filem ‘Zerre: Pendekar Ufuk Timur’ ini berkata, keluarganya masih menanti keputusan seterusnya memandangkan prosiding kes melibatkan Ammar masih berjalan.
Sungguhpun begitu, Aditya dan keluarga akan terus memberikan sokongan dan semangat kepada Ammar.
“Kes ini masih lagi dalam proses mahkamah jadi kami sekeluarga masih menunggu keputusannya (mahkamah).
“Kami sekeluarga akan sentiasa berada di belakang abang. Bahkan saya selalu katakan kepada media Indonesia bahawa sesiapa yang terlibat dengan bahan terlarang perlu melalui proses rehabilitasi.
“Jadi, kami sekeluarga akan sentiasa memberikan dia semangat walau apa yang berlaku,” ujarnya.
Dalam pada itu, Aditya memaklumkan kontroversi melibatkan abangnya sama sekali tidak menjejaskan kariernya sebagai pelakon di Indonesia.
Bahkan, isu tersebut telah menjadikannya seorang yang lebih kuat untuk berdepan dengan sebarang ujian kehidupan.
“Alhamdulillah isu ini tak memberikan tempias kepada kerjaya saya. Tak kira apa yang terjadi, sebagai seorang lelaki kita harus kuat dan segera bangkit apabila berdepan dengan ujian,” katanya.
Sekadar info, Ammar sebelum ini terpalit dengan kesalahan berkaitan dadah sebanyak empat kali. Bahkan, dia juga turut disyaki mengedarkan dadah dalam Rumah Tahanan Salemba.
Terbaharu, pelakon filem ‘Retak Gading’ itu dipindahkan ke penjara paling ketat dan digeruni di Pulau Nusakambangan yang terletak di pesisir Cilacap, Jawa Tengah, Indonesia pada awal Oktober lalu.
Pemindahan itu dibuat selepas Ammar dilabel sebagai banduan berisiko tinggi.
Dalam perkembangan lain, Aditya bakal tampil sebagai peneraju utama bagi filem seram Indonesia yang bertajuk Menjelang Magrib 2.