Kementerian Pendidikan (KPM) menetapkan bebeberapa kriteria sebagai garis panduan bagi pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) di asrama tahun ini dengan keutamaan kepada sekolah berisiko tinggi buli, kata menterinya, Fadhlina Sidek.
Katanya, kriteria lain adalah berdasarkan kepada rekod kes buli bagi tempoh dua tahun terkini, kepadatan penghuni atau enrolmen murid, perlindungan sedia ada (sama ada ketiadaan CCTV atau liputan kamera yang tidak mencukupi) serta kesiapsiagaan infrastruktur elektrik dan rangkaian.
Advertisement
Selain itu, beliau berkata, KPM juga akan mendapatkan pengesahan semakan tapak berserta khidmat nasihat teknikal bagi penempatan kamera daripada Pejabat Ketua Pegawai Keselamatan Kerajaan Malaysia (CGSO).
"Panduan ini digariskan bagi memastikan pelaksanaan pemasangan CCTV mematuhi prinsip perlindungan data peribadi serta privasi murid selaras dengan kehendak undang-undang dan dasar KPM.
"Pelaksanaan pemasangan CCTV di asrama yang lain akan dilaksanakan secara berfasa tertakluk kepada peruntukan kewangan serta inisiatif belanjawan tahun 2026.
"KPM menegaskan bahawa pemasangan CCTV secara berfasa ini adalah sebahagian daripada usaha menyeluruh untuk memastikan kesejahteraan murid," katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat pada Selasa.
Beliau berkata demikan bagi menjawab soalan Dr Mohammed Taufiq Johari (PH-Sungai Petani) mengenai perincian terkait inisiatif KPM untuk memasang peranti CCTV bagi menangani isu buli di sekolah.
Semalam, Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh memaklumkan sebanyak RM3 juta diperuntukkan kementeriannya bagi tujuan pemasangan CCTV di 200 asrama di sekolah bawah kendaliannya bermula 13 Oktober lalu.
Dalam pada itu, Fadhlina berkata KPM komited untuk memperkukuh keselamatan dan mengurangkan risiko buli di sekolah dan asrama seluruh negara.
"KPM memandang serius setiap insiden yang membabitkan kesejahteraan murid kerana kejadian seumpama ini bukan sahaja menyentuh aspek keselamatan fizikal tetapi juga memberi kesan mendalam terhadap emosi, pembelajaran dan masa depan anak-anak kita," katanya.
Sumber: BH Online