Sekilas
- Pelakon Nadia Kesuma disahkan meninggal dunia akibat sakit jantung, mengakhiri tanda tanya mengenai kehilangannya.
- Berita pemergian Nadia mendapat reaksi sebak daripada netizen yang turut mengucapkan takziah dan mendoakan roh Allahyarhamah.
- Jenazah Nadia kini berada di Hospital King Fahad dan akan dikebumikan di Jeddah selepas dilaporkan hilang selepas penerbangan dari Kuala Lumpur ke London.
Tanda tanya mengenai kehilangan Nadia Kesuma terjawab apabila pelakon itu disahkan meninggal dunia akibat sakit jantung.
Berita mengenai pemergian Nadia itu kemudiannya mengundang rasa sebak dalam kalangan netizen.
Ujar warganet, meskipun mereka tidak mengenali Allahyarhamah secara peribadi namun, pemergian pelakon itu sangat dirasai.
“Saya tidak kenal arwah Nadia Kesuma tetapi sebagai sesama Islam saya amat terkejut, Al-Fatihah.
“Berita yang mengejut serta menyedihkan. Salam takziah buat keluarga.
“Kita kehilangan seorang insan yang muda dan berbakat, meninggalkan ruang kosong yang sukar diisi. Ramai yang masih terkejut dan tak percaya. Dunia terasa sepi tanpa senyumannya,” komen netizen.
Dalam pada itu, warganet turut menitipkan ucapan takziah kepada keluarga serta mendoakan agar roh Allahyarhamah Nadia dicucuri rahmat.
“Semoga Allah SWT mencucuri rahmat ke atas arwah, mengampuni segala dosanya, menerima amal kebaikannya, serta menempatkannya dalam kalangan orang-orang yang beriman dan beramal soleh,” komen netizen.



Terdahulu, anak perempuan Allahyarhamah Nadia memaklumkan ibunya meninggal dunia akibat sakit jantung pada Khamis lalu menerusi laman Threads.
Jenazah Nadia kini berada di Hospital King Fahad dan akan dikebumikan di Jeddah.
Sebelumnya, Nadia dilaporkan gagal dikesan selepas penerbangannya dari Kuala Lumpur ke London yang transit sementara di Lapangan Terbang Antarabangsa Raja Abdul Aziz, Jeddah.
Sumber: Threads