Sekilas
- Dato Sri Siti Nurhaliza berjaya mengadakan konsert bertemakan lagu raya bertajuk Beraya Dengan Saya di Zepp Kuala Lumpur yang mendapat sambutan hangat walaupun pengumuman dibuat kurang sebulan sebelum acara.
- Konsert tersebut menampilkan lagu-lagu raya popular Siti seperti Sesuci Lebaran dan Mekar Hari Raya, serta persembahan duet bersama Aisha Retno dan anak didiknya, Umai dan Odah.
- Pengarah Muzik Caan dan Leman Band berjaya menyusun semula lagu-lagu tersebut dengan gaya santai namun mengesankan, menjadikan suasana konsert meriah dan penuh nostalgia raya.
Sebenarnya kalau Dato Sri Siti Nurhaliza umum bakal buat konsert nyanyian lagu patriotik pun, pasti peminat akan sokong ; apa sangat apabila beliau beritahu akan melaksanakan konsert berkonsep lagu-lagu raya seperti yang tuntas berlangsung pada 21 Syawal.
Itulah yang terjadi pada penganjuran Beraya Dengan Saya Dato Sri Siti Nurhaliza di Zepp Kuala Lumpur. Meski hanya diumumkan tidak sampai satu bulan, tiket yang dijual ‘laris manis’, peminat atau Siti Zoners hadir daripada semua pelusuk ; mengikut tema berbusana raya serba warna warni dan meriah sebelum disambut dengan hidangan juadah hari raya lalu dilengkapkan persembahan Siti yang tiada galang ganti.
“Peminat minta saya buat konsep konsert raya sudah lama kerana mereka rasa saya ada banyak lagu raya. Akhirnya ia secara eksklusif menjadi kenyataan menerusi Berada Dengan Saya Dato Sri Siti Nurhaliza.
“Saya laksanakan ia dalam bulan Syawal untuk meraikan peminat. Cukuplah ini ya, jangan minta buat lagi Raya Aidiladha. Itu (raya) kita buat korban,” katanya sambil berseloroh.

Di atas panggung, dengan dua persalinan busana ; satu merah jambu dan set kedua biru cair, bukan tentang pakaian Siti sahaja yang menangkap perhatian, tapi tentulah pesona biduanita negara yang tidak pernah redup itu.
“Masya Allah, nyanyi lagu raya pun sedap!”, “Gila, clean sangat vokal Siti” dan ‘Merdunya,” - antara pujian yang tak lekang di bibir Siti Zoners setiap kali penghibur kesayangan mereka mula membuat persembahan.

Ironi, lebih dua jam tiada satu pun lagu hit miliknya dinyanyikan kecuali lagu raya seperti Sesuci Lebaran, Air Mata Syawal, Nazam Lebaran, Meriah Suasana Hari Raya, Bila Hari Raya Menjelma dan Beraya Dengan Saya yang hanya dimainkan tidak sampai satu bulan dalam satu tahun di corong radio saat Aidilfitri menjelma didendangkan.

Namun kesan lagu-lagu raya Siti, sama ada berentak rancak mahupun syahdu, semuanya melekat dalam kotak fikiran peminat. Siti malah menunaikan hasrat peminat untuk beliau mendendangkan lagu raya yang disifatkan layak masuk pertandingan Anugerah Juara Lagu (AJL) yang dihasilkan Dr Mohd Azhar Abu Bakar atau Azmeer berjudul Mekar Hari Raya.
“Korus lagu ini menekan-nekan, tapi saya tunaikan permintaan anda, pertama kali saya bawakan selepas melahirkan anak di usia 47 tahun,” katanya sebelum memukau peminat sekali gus menerima tepukan gemuruh.
Di selang seli lagu raya miliknya, Siti turut mendendangkan beberapa hit raya yang disifatkan mempunyai momen peribadi buatnya seperti Dendang Perantau dan Suara Takbir. Bersama dua anak didiknya yang dijaga Siti Nurhaliza Legacy iaitu Umai dan Odah, Siti berpadu suara dengan gen Z dan gen Alpha ini mendendangkan lagu raya nostalgia.

Paling mencuri tumpuan tentu sahaja penampilan Aisha Retno dengan Jodoh Lebaran dan Siti serta peminat ikut serta dalam ‘challenge’ tarian lagu tersebut yang klip videonya telah ditonton lebih 16 juta kali serta ‘mendunia’.
Dan pemilihan Aisha di Beraya Dengan Saya Dato Sri Siti Nurhaliza bukan bersandarkan populariti lagu tersebut semata, sebaliknya punya signifikan tersendiri.
Aisha yang disifatkan Siti sebagai berbakat besar adalah pencipta lagu raya Siti berjudul Raya Nak Ke Mana ; sekali gus memberi peluang penonton melihat mereka berduet di atas pentas mendendangkan lagu tersebut selepas ‘membuat kecoh’ dengan set Jodoh Lebaran sebelum itu.

Di sebalik persembahan yang divisualkan secara santai namun mengesankan, Pengarah Muzik, Caan dan tim Leman Band patut menerima kredit dalam penyusunan semula beberapa lagu malar segar yang kedengaran enak tanpa menghilangkan ciri khas serta menghidupkan persembahan tanpa berlebihan.

Seperti yang penulis katakan pada awal perenggan pertama ; Siti Nurhaliza buat atau nyanyi lagu apapun pasti laku dan laris - begitulah situasi Beraya Dengan Saya Dato Sri Nurhaliza.
Sikap santun dan kebijaksanaan menangkap hati Siti Zoners membuat malam Beraya Dengan Saya Dato Sri Siti Nurhaliza berlangsung santai ; betul-betul seperti dalam mood raya dengan suasana meriah saling bergurau senda dan bergembira.
Sebenarnya, pada satu tahap yang dicari peminat bukan soal kualiti (kerana sudah lama terbukti) tapi adalah memaknai hiburan buat diri secara santai dan sederhana tapi tetap meninggalkan kesan nan abadi.
Dan Siti, menjadi pesohor seni yang punya magis itu — membuat peminat berpuluh tahun tidak jemu bercerita tentangnya, bernyanyi dengannya dan mendukung terus semua perancangan serta karier seninya. Ini adalah sebuah dedikasi yang cukup luar biasa.
