Sekilas
- Salina Saibi meluahkan rasa terharu kerana wataknya sebagai ASP Salina dalam drama Gerak Khas menjadi identiti yang melekat dalam ingatan penonton.
- Walaupun pernah berlakon dalam beberapa naskhah lain, Salina tetap dikenali ramai menerusi watak polis dalam drama kepolisan ikonik itu.
- Gerak Khas 2.0 kini bersiaran di TVS 122 setiap Jumaat, jam 8.30 malam, menampilkan pelakon seperti Erra Fazira, Datuk Hans Isaac, Anding dan Fezrol Khan.
Pelakon, Salina Saibi, 44, meluahkan rasa terharu dan tidak menyangka wataknya sebagai ASP Salina dalam drama bersiri Gerak Khas menjadi identiti yang terus melekat dalam ingatan penonton sehingga kini.
Menurut Salina, meskipun pernah membintangi beberapa naskhah lain, kebanyakan penonton tetap mengenalinya menerusi watak anggota polis yang dibawakan dalam drama kepolisan ikonik itu.
“Saya banyak berlakon dalam siri Gerak Khas sahaja, tidak banyak yang lain. Walaupun ada tetapi orang tetap nampak saya sebagai Gerak Khas juga.
“Jadi saya okay sahaja, tak ada masalah untuk saya dan watak pun bukan biasa-biasa. Rasanya ini watak yang diimpikan oleh setiap pelakon di Malaysia.
“Semua orang nak jadi watak Polis dalam Gerak Khas, malah Erra Fazira juga ada dalam drama ini.
“Jadi saya rasa peluang ini sangat besar untuk saya sebenarnya dan saya kena jaga amanah serta kepercayaan ini, buat sehabis baik,” katanya ketika ditemui pada sidang media pelancaran drama Gerak Khas 2.0 baru-baru ini.
Dalam pada itu, Salina berkata wataknya ituturut membina jenama yang kukuh sehingga masyarakat lebih mengenalinya sebagai ASP Salina.
“Dulu saya dikenali dengan drama Bohsia, sekarang orang panggil saya ASP Salina, mereka panggil dengan gelaran ‘puan’.
“Bila jumpa orang di luar, mereka panggil ‘puan, puan nak lapor,’ mereka rasa saya ini polis.
“Bila jumpa mereka panggil puan puan nak lapor. Mereka rasa saya ini polis,” kongsinya.
Selain Salina, Gerak Khas 2.0 turut menampilkan Erra Fazira, Datuk Hans Isaac, Anding dan Fezrol Khan.
Gerak Khas 2.0 kini bersiaran di saluran TVS 122 setiap Jumaat, jam 8.30 malam.