Pelakon Datin Atikah Suhaime mendedahkan dirinya pernah ditegur suami, Datuk Lokman Teh gara-gara perubahan sikap sejak akhir-akhir ini.
Menurut Atikah, 34, kesibukan menguruskan kerjaya selepas dikurniakan cahaya mata pertama membuatkan dirinya mudah marah sehingga terlepas kata-kata yang kurang sopan terhadap suami.
Advertisement
@atikahsuhaimeeee Kak Sri ajar buat bakso. #fyp #mukbang #bakso #indonesianfood #meatball ♬ Bokong Semok - Niken Salindry
“Alhamdulillah sejak ada anak, rezeki mengalir macam air. Saya dapat banyak job review, jadi memang sangat sibuk.
“Masa Subuh tadi saya gantikan lampin anak tapi saya rasa annoyed bila tengok suami main telefon dan langsung tak tolong. Saya terus terlepas cakap, ‘asyik tengok telefon je, tolonglah sini…macamlah dapat satu juta bila tengok telefon.’
“Suami saya cakap, ‘sejak kebelakangan ini rezeki awak banyak tapi awak asyik cakap kurang ajar dengan saya’,” katanya menerusi hantaran video di TikTok.
Mengakui kesilapan diri, Atikah berkata perubahan sikapnya itu mungkin berpunca daripada rasa penat menguruskan kerja dan kerap melakukan siaran langsung di TikTok.
“Betul, lately saya memang sangat kurang ajar dengan suami. Mungkin sebab penat, jadi bila dia buat silap sikit saya terus melenting. Tapi dia tetap sabar.
“Saya rasa bersalah dan minta maaf. Saya bertuah sebab walaupun saya marah-marah, suami masih sayang dan bawa saya pergi makan Omakase,” jelasnya.
Dalam masa sama, pelakon itu turut menitipkan pesanan kepada kaum wanita agar tidak mudah mendabik dada meskipun mampu mencari rezeki sendiri.
“Kadang-kadang bila kita dapat cari duit sendiri, kita akan rasa terlalu hebat. Jangan lupa, kalau bukan sebab izin Allah, kita tak mungkin dapat banyak rezeki.
“Jangan sombong dengan suami, walaupun kita bekerja,” ujarnya.
Untuk rekod, Atikah mendirikan rumah tangga dengan Lokman pada 21 Januari tahun lalu. Pasangan itu dikurniakan cahaya mata sulung bernama Lyla Mulan Teh yang dilahirkan pada 8 Mac lalu.