Pengarah Para Perasuk, Wregas Bhanuteja berkongsi kisah lucu sewaktu 'melamar' penyanyi dan pelakon, Anggun untuk membintangi filem arahannya.
Menurut Wregas, usaha awalnya bermula dengan menghantar mesej peribadi (DM) kepada Anggun di Instagram, namun mesej tersebut langsung tidak dibaca.
"Waktu itu saya hantar direct message di Instagram dan menawarkan kepada Anggun untuk berlakon dalam filem ini. Tapi mesej itu langsung tidak dibaca.
"Tetapi ada kawan saya yang memaklumkan kepada dia dan akhirnya dia baca mesej itu. Kebetulan ketika dia berada di Jakarta, kami sempat bertemu dan saya membentangkan keseluruhan jalan cerita filem Para Perasuk kepadanya," katanya kepada Gempak.
Lebih menarik, ketika bertemu untuk sesi pembentangan bersama pelakon itu Wregas sengaja membuat pembentangan dalam bahasa Perancis kerana menyangka suami Anggun berasal dari negara itu.
Namun selepas selesai membuat pembentangan, respon Anggun membuatkan Wregas sendiri tergamam.
"Saya sengaja menggunakan bahasa Perancis supaya suaminya juga dapat memahami jalan cerita yang saya bentangkan. Saya cuba bercakap dalam bahasa Perancis sepanjang sesi pembentangan itu.
"Anggun kata, 'Terima kasih sebab bercakap dalam bahasa Perancis, tapi suami saya orang Jerman. Sepatutnya awak cakap dalam bahasa Inggeris sahaja. Masa itu saya memang malu juga, tetapi syukur akhirnya Anggun tetap bersetuju untuk membintangi filem ini," tambahnya.