Sekilas
- Pelakon Along Eyzendy meninggal dunia di Hospital Sultan Idris Shah, Serdang selepas tiga hari bertarung nyawa.
- Jenazah akan dimandikan dan disolatkan di hospital sebelum dibawa pulang ke Pasir Gudang, Johor untuk pengebumian.
- Along Eyzendy dimasukkan ke hospital akibat jangkitan kuman pada hempedu dan mengalami demam serta batuk berpanjangan sebelum ini.
Selepas tiga hari bertarung nyawa, pelakon Along Eyzendy disahkan meninggal dunia di Hospital Sultan Idris Shah, Serdang, Selangor kira-kira pukul 12.16 tengah malam, Ahad.
Jenazah Allahyarham difahamkan akan dimandikan di Unit Forensik hospital berkenaan sebelum disolatkan di sana dan seterusnya dibawa pulang ke Pasir Gudang, Johor untuk urusan pengebumian.
Sebelum ini, Along Eyzendy terpaksa ditidurkan di Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Sultan Ahmad Shah (HSAS), Serdang susulan tahap kesihatan yang semakin merosot akibat jangkitan kuman pada hempedu.
Menurut isterinya, Hamidah, pada awalnya dimasukkan ke hospital seminggu lalu selepas mengalami gejala demam dan batuk berpanjangan.