Sekilas
- Cinta Laura Kiehl membantu pembantu peribadinya, Salsa, menyambung pelajaran hingga berjaya menamatkan sekolah menengah melalui Program Paket C di Indonesia.
- Salsa mula bekerja dengan Cinta pada usia 15 tahun selepas terpaksa berhenti sekolah akibat masalah kewangan semasa pandemik COVID-19.
- Cinta percaya setiap anak muda berhak mendapat pendidikan dan menggunakan pengaruhnya untuk memberi peluang lebih baik kepada orang lain.
Pelakon dan penyanyi Indonesia, Cinta Laura Kiehl, sekali lagi mencuri perhatian, namun kali ini bukan kerana dunia hiburan. Sebaliknya, tindakannya membantu pembantu peribadinya, Salsa, menyambung pelajaran sehingga berjaya menamatkan persekolahan mendapat pujian ramai.
Cinta mendedahkan Salsa mula bekerja dengannya pada penghujung 2021 ketika baru berusia 15 tahun. Remaja itu terpaksa berhenti sekolah akibat kesukaran ekonomi yang dialami keluarganya ketika pandemik COVID-19, lapor Kompas.
"Kita semua tahu ramai anak muda di Indonesia terpaksa berhenti sekolah ketika pandemik kerana masalah kewangan. Salsa adalah salah seorang daripada mereka," katanya kepada media tempatan.
Melihat kesungguhan dan minat Salsa untuk terus belajar, Cinta mengambil keputusan untuk membantu membiayai pendidikannya.
"Saya mulakan dengan menghantarnya mengikuti kelas Bahasa Inggeris kerana saya rasa penguasaan bahasa asing sangat penting," katanya.
Selepas hampir setahun mengikuti kelas tersebut, Salsa memutuskan untuk berehat seketika sebelum Cinta mencadangkan agar dia menyambung pelajaran menerusi Program Paket C, iaitu program pendidikan setaraf sekolah menengah di Indonesia.
Menurut Cinta, kecerdikan Salsa turut menarik perhatian guru-gurunya sehingga dia pernah disyorkan untuk terus mengikuti program pecutan ke peringkat akhir, tanpa perlu melalui keseluruhan tempoh pembelajaran.
Sepanjang setahun lalu, Salsa mengikuti sesi pembelajaran secara hibrid, menggabungkan kelas dalam talian dan bersemuka yang membolehkan dia memperoleh sijil tamat persekolahan seperti SPM.
"Dia baru sahaja menamatkan pengajiannya kira-kira dua minggu lalu dan saya sangat bangga dengan pencapaiannya," ujar Cinta bangga.
Bagi Cinta, setiap anak muda berhak memperoleh peluang pendidikan tanpa mengira latar belakang.
"Saya percaya semua orang, terutama remaja, berhak mendapat pendidikan sekurang-kurangnya sehingga tamat sekolah menengah. Saya mahu dia mempunyai lebih banyak pilihan untuk menentukan masa depannya," katanya.
Perkongsian Cinta itu menerima pelbagai reaksi positif daripada peminat yang memuji keprihatinannya, malah ramai menyifatkan pelakon berusia 32 tahun itu bukan sahaja berjaya dalam kerjaya, tetapi juga menggunakan pengaruhnya untuk mengubah kehidupan orang lain.
Cinta sendiri memiliki latar belakang pendidikan yang sangat cemerlang. Pelakon, penyanyi dan aktivis itu
merupakan graduan Columbia University di Amerika Syarikat. Dia diketahui menamatkan pengajian dengan ijazah sarjana muda (Bachelor's degree) dalam dua bidang (double major) iaitu Psikologi dan
Kesusasteraan Jerman.