Sekilas
- Stesen radio SINAR membuka peluang kepada individu berusia 35 tahun ke atas untuk menjadi penyampai radio melalui program Penyampai Emas SINAR dengan menghantar video pendek di Instagram atau TikTok.
- Ujibakat secara dalam talian akan ditutup pada 9 Januari 2026, diikuti sesi ujibakat terbuka di MYDIN USJ Subang pada 10 Januari 2026, dengan maklumat lanjut diumumkan di media sosial rasmi SINAR.
- Program ini bertujuan mencari bakat baharu yang kreatif dan berwibawa untuk menyegarkan landskap penyiaran radio tempatan serta memberi peluang kepada mereka yang ingin berkarya walaupun usia sudah lanjut.
Stesen radio SINAR yang sinonim dengan tagline “SINAR Muzik Retro Terbaik” tampil membuka ruang baharu buat rakyat Malaysia merealisasikan impian menjadi penyampai radio menerusi pencarian bakat Penyampai Emas SINAR.
Inisiatif ini diperkenalkan sebagai sebahagian daripada usaha SINAR menyegarkan landskap penyiaran radio tempatan dengan kehadiran bakat baharu yang kreatif, berwibawa dan bersahaja. Program ini juga memberi peluang kepada individu yang selama ini menyimpan hasrat untuk berada di belakang mikrofon, tetapi tidak pernah berpeluang atau merasakan usia menjadi penghalang.
Menerusi Penyampai Emas SINAR, orang ramai dipelawa untuk menghantar video pendek menampilkan gaya dan personaliti masing-masing sebagai penyampai radio. Penyertaan boleh dibuat dengan memuat naik video di Instagram atau TikTok, menggunakan tanda pagar #PenyampaiEmasSINAR serta menyebut tagline rasmi SINAR. Akaun media sosial perlu berada dalam mod umum, durasi video tidak melebihi satu minit, dan terbuka kepada individu berusia 35 tahun ke atas.
Ujibakat secara dalam talian akan ditutup pada 9 Januari 2026, diikuti sesi ujibakat terbuka di MYDIN USJ Subang pada 10 Januari 2026. Sementara itu, maklumat berkaitan ujibakat seterusnya di Astro Bukit Jalil akan diumumkan menerusi platform media sosial rasmi SINAR.
Menurut Pengurus Jenama SINAR, Zureen Affendi, Penyampai Emas SINAR merupakan satu-satunya platform ujibakat radio yang memberi fokus kepada golongan dewasa untuk mengejar impian mereka dalam dunia penyiaran.
“Ramai sebenarnya pernah terfikir untuk menjadi penyampai radio, tetapi tidak tahu bagaimana untuk bermula atau merasakan sudah terlambat. Inilah peluang emas untuk membuktikan bahawa usia bukan penghalang untuk berkarya dan bersinar,” katanya.
Beliau turut menjelaskan bahawa SINAR percaya setiap individu mempunyai cerita, pengalaman dan gaya tersendiri yang mampu menceriakan pendengar.
“Kami mahu melahirkan penyampai yang bukan sahaja pandai berbicara, tetapi mampu membawa kehangatan, semangat positif dan menjadi teman setia pendengar setiap hari,” ujarnya.
Tambahnya lagi, dalam era digital hari ini, ramai individu berbakat muncul di media sosial tetapi tidak mempunyai platform untuk berkembang secara profesional.
“Penyampai Emas SINAR adalah jambatan untuk mereka melangkah ke dunia radio arus perdana. Kami mahu mencungkil bakat yang mampu menghidupkan suasana, memberi inspirasi dan menyumbang nilai kepada industri penyiaran,” katanya.
Orang ramai yang berminat disaran supaya tidak melepaskan peluang ini dan tampil berani mencuba kerana siapa tahu, suara anda mungkin menjadi wajah baharu yang mewarnai gelombang SINAR dan sebahagian daripada keluarga besar stesen radio itu.
Untuk maklumat lanjut serta perkembangan terkini, orang ramai boleh mengikuti platform media sosial rasmi SINAR atau memuat turun aplikasi SINAR menerusi App Store, Play Store dan Huawei App Gallery.