Pelakon, Kamal Adli tampil menjelaskan beberapa salah faham antaranya dan isteri, Uqasha Senrose yang tular baru-baru ini di media sosial.
Menerusi satu hantaran di Instagram, Kamal berkata dia terpanggil untuk memperbetulkan kenyataan segelintir netizen yang membuat andaian tidak berasas mengenai kehidupannya.
“Saya terpanggil untuk membetulkan beberapa kenyataan daripada netizen yang melibatkan maruah saya, isteri saya, dan keluarga kami berdua.
“Ada segelintir netizen yang buat andaian saya tak ada masa untuk anak sendiri. Tak baik tahu, banyak saja masa saya luangkan untuk Hawra, bawa bercuti dan sebagainya.
Advertisement
“Saya seorang ayah. Saya sangat sayangkan anak saya. Mustahil saya tak fikir pasal Hawra,” jelasnya.
Dalam masa sama, pelakon filem Abang Long Fadil itu turut menafikan dakwaan kononnya dia tidak menerima sebarang tawaran kerja selama tiga bulan.
“Ada juga yang cakap saya tak ada job sampai tiga bulan. Salah tu.Saya memang sengaja tak ambil kerja selama dua bulan untuk berehat selepas bekerja tanpa henti, dan pada masa sama nak fokus pada isteri serta anak saya.
“Alhamdulillah, rezeki saya tidak pernah putus. Cukup untuk keluarga kecil kami. Yang paling penting, isteri dan anak saya sihat dan sentiasa dalam rahmat Allah. Saya bersyukur mereka dikelilingi ahli keluarga yang baik-baik,” katanya lagi.
Kamal turut menjelaskan bahawa dia sememangnya jarang berkongsi hal peribadi di media sosial, bukan kerana mahu berahsia tetapi disebabkan kesan trauma selepas insiden dipukul di Singapura suatu ketika dahulu.
Malah, Kamal turut menegur segelintir netizen agar tidak meninggalkan komen negatif terhadap dirinya mahupun isterinya.
“Kalau korang dah biasa ke platform saya, korang mesti perasan saya memang tak banyak berkongsi hal peribadi. Kebanyakan yang saya kongsi adalah perkara berkaitan kerja. Ini mungkin kesan dan trauma daripada kes pukul di Singapura dulu.
“Saya cuma minta jangan provoke isteri saya atau tinggalkan komen negatif. Isteri saya juga manusia, kadang penat bekerja, kadang stres. Apa yang terbaik, doakan saja isteri saya dan kami sekeluarga. Demi Allah, saya sayangkan isteri dan anak saya sangat-sangat. #ilovemywife,” tulisnya menutup kenyataan.
Terdahulum, rumah tangga pasangan ini kembali menjadi perhatian netizen selepas didakwa tidak lagi mengikuti antara satu sama lain di sosial media.
Uqasha Senrose juga tampil menjelaskan keadaan sebenar selepas timbul salah faham dalam kalangan warganet yang mendakwa dirinya mengalami ‘burn out’ kerana menjaga anak.
Menurut Uqasha, sebenarnya berasa sedih dan terbeban kerana terpaksa meninggalkan anaknya untuk keluar bekerja, bukannya penat menjaga anak seperti yang disangka segelintir pihak.