Sekilas
- Daiyan Trisha mendedahkan dia pernah bercinta dengan seorang lelaki bukan Muslim tahun lalu, namun hubungan itu tidak diteruskan kerana perbezaan agama.
- Dia menegaskan bahawa dia bercinta untuk berkahwin dan memerlukan pasangan yang benar-benar bersedia memeluk dan mengamalkan Islam dengan ikhlas.
- Daiyan berkongsi pengalaman ini dalam podcast 'Head Over Heels' dan menegaskan bahawa memeluk Islam sekadar atas kertas tidak mencukupi dalam perkahwinan.
Penyanyi dan pelakon, Daiyan Trisha menyorot perhatian apabila mendedahkan dia pernah bercinta dengan seorang lelaki sekitar tahun lalu namun hubungan itu tidak berkekalan.
Menurut Daiyan atau nama lengkapnya Daiyan Trisha Mohd Nasarudin, perbezaan agama merupakan faktor mengapa dia memilih untuk tidak meneruskan hubungan dengan lelaki berkenaan.
“Saya pernah bercinta tahun lepas tetapi dia (bekas kekasih) bukan Muslim. Jadi kami tak boleh berkahwin.
“Saya bukan jenis yang bercinta untuk suka-suka, saya bercinta untuk berkahwin,” kongsinya.
Daiyan berkongsi perkara tersebut ketika menjadi tetamu sesi podcast ‘Head Over Heels Podcast’.
Bercerita lanjut, pelantun lagu Penat ini memaklumkan bahawa pada awalnya, bekas teman lelakinya itu tidak melihat isu agama sebagai satu masalah, namun lama-kelamaan perkara itu menjadi penghalang utama dalam hubungan mereka.
“Mula-mula dia tak anggap isu agama tu sebagai satu masalah. Tapi lama-kelamaan, perkara itu menjadi isu,” ujarnya.
Situasi itu juga mengajar Daiyan bahawa soal agama bukanlah satu perkara yang boleh dipandang ringan atau dipersetujui hanya dengan kata-kata.
“Hubungan yang lalu mengajar saya, ia bukan sekadar cakap ‘ya, saya akan masuk Islam’. Ia jauh lebih mendalam daripada itu.
“Awak perlu benar-benar percaya kerana suatu hari nanti awak akan memimpin keluarga saya,” katanya.
Tambah Daiyan, memeluk Islam semata-mata untuk memenuhi syarat perkahwinan tidak cukup jika tidak disertakan dengan kepercayaan serta penghayatan yang mendalam dalam beragama.
“Dia memang kena Muslim. Kalau belum Muslim, dia kena betul-betul bersedia, bukan sekadar masuk Islam, tapi juga mengamalkannya.
“Dia bukan berkahwin dengan saya seorang saja. Dia berkahwin dengan keluarga saya, budaya saya dan semua yang saya raikan.
“Ramai orang sanggup masuk Islam, tapi sekadar atas kertas. Bagi saya, itu tak cukup. Kalau bukan Muslim, dia perlu benar-benar bersedia bukan sekadar untuk memeluk Islam, tetapi mengamalkannya.
“Ada orang yang masuk Islam hanya atas kertas, tetapi bagi saya itu tidak cukup,” katanya lagi.
Sumber: TikTok